Pegawai tentera ditahan bersama senjata api, positif air ketum di IPTA

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai tentera ditahan polis selepas ditemukan bersama sepucuk senjata api, sejumlah peluru dan cecair yang disyaki bahan terlarang di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 28 September lalu.
Cawangan Komunikasi Strategik (CKS), Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan berkata, pegawai berkenaan kini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Menurut kenyataan itu, saringan awal air kencing terhadap pegawai terbabit mendapati dia positif Mitragynine (bahan psikoaktif dalam ketum).
"Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih tertakluk kepada pengesahan lanjut melalui analisis makmal dan hasil siasatan pihak berkuasa," kata kenyataan itu.
Susulan menerima maklumat berhubung kejadian itu, TDM mengambil tindakan segera dengan melaksanakan pemeriksaan terhadap kesemua stor senjata dan stor peluru.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua senjata dan peluru adalah lengkap, mencukupi serta tiada sebarang kehilangan direkodkan," kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, TDM memandang serius sebarang perkara yang melibatkan anggota dan pegawai tentera, selain sentiasa menitikberatkan aspek disiplin, keselamatan serta pematuhan kepada peraturan.
"TDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan berdasarkan hasil siasatan yang telah disahkan," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, TDM menegaskan sebarang kesimpulan berkaitan kejadian berkenaan hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan hasil siasatan pihak berkuasa, bukannya maklumat yang belum disahkan.
TDM turut menyeru semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan orang awam atau menjejaskan proses siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

