Meta akui kesilapan teknikal jejaskan sebahagian akaun WhatsApp - MCMC

CYBERJAYA - Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistemnya sehingga aktiviti pengguna WhatsApp yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan, sekali gus menjejaskan lebih separuh kes dalam kumpulan pertama yang dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima maklum balas Meta berhubung isu penggantungan akaun WhatsApp yang telah dikemukakan kepada syarikat berkenaan sebelum ini.
"Menurut Meta, kesilapan teknikal tersebut telah ditangani pada penghujung September dan akaun sah yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.
"Meta turut mengesahkan bahawa tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp," menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan bagi kes lain, Meta menjelaskan bahawa penggantungan akaun turut melibatkan beberapa faktor termasuk nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun yang disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan oleh sistem keselamatan WhatsApp.
Menurut kenyataan itu, laporan pengguna merupakan satu daripada faktor yang dinilai dan bukan satu-satunya asas bagi tindakan penggantungan akaun.
Berhubung akaun perniagaan, Meta memaklumkan penghantaran mesej tanpa persetujuan atau dalam jumlah yang tinggi, khususnya kepada penerima yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.
"Pengguna perniagaan disaran mendapatkan persetujuan penerima sebelum menghantar mesej secara pukal," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MCMC telah meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan supaya pengguna yang terjejas menerima pengesahan, maklumat status semakan serta tindakan yang lebih jelas dan pantas.
MCMC menyarankan pengguna yang terjejas supaya menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp.
"MCMC akan terus memantau penyelesaian kes yang masih tertunggak dan memastikan penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan semula akaun mereka.
"Tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan sekiranya langkah Meta didapati tidak memadai," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
