23 gajah dibunuh, daging diagih untuk jamuan kemerdekaan

Botswana merupakan negara yang mempunyai populasi gajah terbesar di dunia. Foto: Fail BBC
Botswana merupakan negara yang mempunyai populasi gajah terbesar di dunia. Foto: Fail BBC
A
A
A

GABORONE - Kira-kira 23 ekor gajah dibunuh untuk dijadikan jamuan sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Botswana, sekali gus mencetuskan bantahan kumpulan pemuliharaan dan pencinta hidupan liar.

Keputusan itu dipertikaikan kerana Botswana merupakan negara yang mempunyai populasi gajah terbesar di dunia dengan lebih 130,000 ekor haiwan berkenaan.

Menurut laporan BBC, lesen dikeluarkan Kementerian Alam Sekitar dan Pelancongan Botswana membenarkan pemburuan 23 ekor gajah serta haiwan liar lain untuk tujuan yang disifatkan pihak berkuasa sebagai kegunaan percuma.

Pengerusi Elephant Protection Society Botswana, Oaitse Nawa berkata, gajah perlu diberikan perlindungan lebih baik kerana pembunuhan haiwan berkenaan untuk jamuan dikhuatiri memberi gambaran bahawa pemburuan gajah boleh diterima.

Beliau berkata, tindakan itu juga berpotensi memberi mesej yang salah mengenai usaha melindungi gajah serta menggalakkan pemburuan haram.

“Gajah telah kehilangan struktur sosial mereka kerana sentiasa dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain akibat tembakan,” katanya.

Daging gajah berkenaan diperuntukkan kepada lapan daerah untuk diagihkan kepada penduduk sebagai sebahagian daripada sambutan kemerdekaan.

Laporan media tempatan menunjukkan penduduk berkumpul di sekitar bangkai gajah untuk mendapatkan daging, malah ada yang memotongnya secara terus menggunakan pisau.

Di daerah Chobe, ahli Parlimen, Simasiku Mapulanga menyuarakan kebimbangan selepas penduduk dilaporkan mengambil daging daripada bangkai seekor gajah di sebuah sekolah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kaedah pengagihan itu boleh menimbulkan masalah terutama kepada warga emas, wanita hamil dan golongan orang kurang upaya, selain mencadangkan daging berkenaan diproses dan dibungkus dalam saiz lebih kecil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!