'Pasar Borong Selayang masih beroperasi, namun aktiviti dikawal'

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR – Operasi di Pasar Borong Kuala Lumpur atau dikenali Pasar Borong Selayang tidak dihentikan, namun aktiviti keluar masuk di situ akan dikawal dengan ketat oleh pasukan keselamatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, berkemungkinan ujian saringan tertentu terpaksa dijalankan kepada pemandu lori dan mereka yang keluar masuk di pasar borong berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur sejak tengah malam tadi.

“Sekarang ini kita buat ketetapan wujudkan satu ‘command centre’ di pintu masuk utama pasar borong untuk pengurusan krisis di kawasan tersebut.

"Saya ambil keputusan lantik tiga orang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertanggungjawab memantau segala yang berlaku di situ.

“Di ‘command centre’ ada bilik taklimat, bilik operasi pasukan keselamatan terlibat dan juga pusat penerimaan sumbangan makanan bermasak dan sebagainya,” katanya pada sidang media secara live di Facebooknya hari ini.

Annuar berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan agak mencabar bagi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan berikutan mempunyai jumlah penduduk yang agak tinggi

Menurutnya, terdapat kira-kira 15,000 ke 16,000 penduduk di enam blok di sekeliling pasar borong tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, menjadi cabaran luar biasa kepada pihaknya apabila terpaksa menyelia dan mengendalikan kawasan PKPD yang besar.

“Seramai 500 petugas kesihatan akan ditempatkan bagi menjalankan ujian saringan kepada penduduk yang terlibat.

“Kita menjangkakan akan membuat ujian saringan Covid-19 kepada antara 1,500 hingga 2,000 orang setiap hari di situ. Dalam masa seminggu kita harap dapat jalankan ujian kepada semua yang berada di situ,” katanya.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan berkata, ia supaya mereka yang didapati positif dapat segera diasingkan dan jika dalam tempoh 14 hari tidak ada lagi jangkitan, barulah pihaknya menganggap penduduk di situ tidak membawa virus.

Katanya, sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan di kawasan itu, pihaknya akan menentukan satu kaedah bagaimana penduduk di situ dapat membeli bekalan makanan.

“Akan ada juga bantuan makanan yang kita sedang susun kaedah agihannya. Saya seru kepada mereka yang ingin membantu termasuk dalam urusan logistik dan makanan supaya berhubung di ‘command centre’ yang diwujudkan.

“Saya juga minta majikan dapat ambil berat tentang keperluan logistik terutama makanan pekerja masing-masing yang berada di situ,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah untuk memperketatkan PKP di kawasan berkenaan kerana terdapat petanda dan indikasi jumlah kes didapati positif yang memerlukan intervensi awal.

Katanya, pendekatan pelaksanaan PKPD digunakan di negara ini apabila ada indikasi penularan yang agak tinggi di sesuatu kawasan.

Ia bagi membolehkan kerja-kerja seperti saringan ujian dilaksanakan sepenuhnya oleh KKM dengan keadaan penduduk berada dalam premis dan tidak meninggalkan bangunan tanpa kebenaran.

Untuk rekod, Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur menjadi lokasi terbaharu dikenakan PKPD berkuatkuasa serta-merta sehingga 3 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD keenam itu melibatkan lapan kawasan perumahan yang telah dikenal pasti.