Berdoa setiap kali rindu mak ayah

Hussain dan adik-adiknya melambai tangan kegembiraan selepas disahkan negatif Covid-19 dan dibenarkan pulang.
Hussain dan adik-adiknya melambai tangan kegembiraan selepas disahkan negatif Covid-19 dan dibenarkan pulang.
A
A
A

MARANG - Kanak-kanak yang ditempatkan di Pusat Kuarantin Covid-19 Marang (PKCM) di sini, Hussain Izzuddin Che Mamad, 9, berkongsi pengalamannya di kuarantin kerana mempunyai kontak dengan individu dalam siasatan (PUI) di Pusat Pengajian Sheikh Daud al Fatoni, Pasir Putih, Marang.

Lebih menyedihkan Hussain Izzuddin turut mengambil tanggungjawab menguruskan dua lagi adiknya, Hassan Nasruddin, 7, dan Ali Hakimuddin, 6, selepas mereka ditempatkan di situ.

Katanya, dia hanya mampu berdoa setiap kali merindui ibunya, Norhidayah Abdul Ghani, 35 dan bapanya, Che Mamad Che Mud, 50 selama berada di situ sejak 12 April lalu.

“Saya dengan adik-adik sudah biasa tinggal jauh dengan mak dan ayah sebab kami belajar di pondok.

"Tapi kali ini berbeza kerana di tempat lain sedangkan di sekolah pondok, mak dan ayah selalu datang. Kalau sunyi dan sedih sangat, saya baca al-Quran. Kalau adik-adik rindu mak ayah, saya suruh mereka berdoa, kemudian bermain dengan mereka.

"Syukur kerana ustaz, doktor dan petugas lain melayan kami dengan baik, makanan pula sedap-sedap," katanya," katanya ketika ditemui di PKCM hari ini.

Bersiap untuk pulang selepas disahkan negatif Covid-19.
Bersiap untuk pulang selepas disahkan negatif Covid-19.

Ketiga-tiga beradik itu merupakan antara 15 individu dalam pemantauan (PUS) yang dibenarkan pulang hari ini selepas disahkan negatif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mudir Pusat Pengajian Sheikh Daud al Fatoni, Mat Najid Che Long bersyukur kerana dia bersama pelajar dan kakitangannya dibenarkan pulang hari ini.

Jelasnya, kesemua mereka dihantar ke pusat kuarantin itu kerana seorang daripada pelajar dari Kelantan mempunyai kotak rapat dengan individu yang positif Covid-19 ketika pulang ke kampung.

“Apabila pemeriksaan ke atas pelajar dibuat, ada yang demam menyebabkan kami semua perlu menjalankan pemeriksaan dan dikuarantin di pusat ini.

“Rasa cemas itu memang ada sebab kita tahu risikonya tapi kami ikut segala arahan yang diberikan supaya semuanya selamat.

"Di sini, kami membaca Yasin dan tahlil setiap kali selepas solat untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.