Dari Bamako ke Makkah, dua kenangan tak akan dilupakan

PUTRAJAYA – Siapa sangka, urusan membeli-belah di Bamako, Mali pada 1984 menjadi antara kenangan istimewa yang terus terpahat dalam ingatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Ketika mengikuti lawatan bersama Dr Hasmah, Dr Wan Azizah berkenan membeli gelang tangan ukiran perak, namun beliau menyedari tidak mempunyai wang tunai kerana pasar tersebut tidak menerima pembayaran menggunakan kad.
Dalam keadaan serba salah, Dr Hasmah menawarkan diri untuk mendahulukan bayaran.
“Beliau bertanya, berkenan ke? Saya seganlah nak cakap, takkan isteri Perdana Menteri bayarkan. Tapi Kak Hasmah tetap cakap beliau boleh bayarkan dahulu gelang tangan tersebut.
“Saya pun fikir, kalau tak beli sekarang, bila lagi boleh datang ke sini. Akhirnya saya bersetuju Dr Hasmah membayar dahulu dan saya jelaskan kemudian,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana di sini pada Rabu.
Dr Wan Azizah berkata, apa yang paling diingatinya bukan soal wang, sebaliknya cara Dr Hasmah melayannya seperti seorang kakak yang membantu adiknya.
“Beliau memberikan saya ruang, memberikan saya peluang untuk membeli sesuatu. Dan sebagai seorang kakak, beliau tolong saya. Itu yang saya ingat,” katanya.
Kenangan itu berlaku ketika Dr Wan Azizah dan Dr Hasmah mengikuti lawatan ke beberapa negara Afrika termasuk Mali pada 1984, sebelum meneruskan perjalanan untuk menunaikan umrah.
Daripada Bamako, perjalanan itu membawa kepada satu lagi pengalaman yang tidak mungkin dilupakan Dr Wan Azizah apabila beliau berpeluang memasuki Kaabah.
Menurutnya, Dr Mahathir ketika itu turut diberikan peluang memasuki Kaabah dan beliau sendiri tidak menyangka akan mendapat kesempatan sama.
Bagaimanapun, Dr Wan Azizah perlu mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum memasuki Masjidil Haram dan ketika itu bimbang akan terlepas peluang berkenaan.
“Saya ingat Dr Hasmah tidak tunggu dan saya akan terlepas peluang nak masuk. Tapi beliau tunggu saya selesai dan kami bersama rombongan dapat memasuki Kaabah. Alhamdulillah,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata, pengalaman itu begitu bermakna kerana sebelum itu beliau tidak pernah terfikir akan mendapat peluang memasuki Kaabah.
Bagi beliau, kedua-dua pengalaman di Bamako dan Makkah menjadi antara kenangan paling peribadi yang terus terpahat dalam ingatannya terhadap Dr Hasmah.
Momen kecil itu juga menggambarkan sisi wanita yang mesra dipanggilnya ‘Kak Hasmah’ sebagai seorang kakak yang penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap orang di sekelilingnya.
Lebih empat dekad kemudian, bantuan membeli gelang di Bamako dan tindakan Dr Hasmah menunggunya sebelum memasuki Kaabah kekal sebagai kenangan yang tidak ternilai.
“Beliau inspirasi hidup saya. Dia memberikan saya contoh dan juga pengajaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

