Misha Omar pegang nasihat Tun Dr Hasmah

BUKAN sekadar membantu menghidupkan watak Tun Dr Hasmah Mohamad Ali dalam pementasan teater, pertemuan Misha Omar dengan Allahyarham sekitar 14 tahun lalu turut meninggalkan kenangan manis buat penyanyi itu.
Jelas pemilik nama sebenar Samihah Aisah Omar itu, Allahyarham sempat memberikan nasihat mengenai rumah tangga yang masih diingatinya sehingga kini.
“Pada ketika itu, saya sebenarnya sedang mencari nasihat tentang soal perhubungan. Allahyarham pernah berpesan kepada saya, ‘Walau siapa pun kamu, kamu perlu menghormati suami kamu.’
“Beliau juga berpesan supaya kita berjalan di belakangnya dan di sampingnya. Begitulah, sesederhana itu. Nasihat itu sangat bermakna kepada saya dan menjadi antara perkara yang saya ingat daripada pertemuan kami,” katanya.
Misha, 44, berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Temu Bual Eksklusif Showcase Misha Omar Aku & Lelaki di Petaling Jaya pada Selasa.
Pertemuan berkenaan berlaku ketika Misha diberi kepercayaan membawakan watak Tun Dr Hasmah ketika remaja menerusi pementasan teater Muzikal Tun Mahathir II di Istana Budaya pada 2011.
Bagi mendalami karakter berkenaan, Misha berkesempatan bertemu dan menemu bual Allahyarham secara peribadi untuk mendapatkan gambaran mengenai keperibadian serta kehidupannya ketika zaman muda.
Menurut Misha, pertemuan itu menjadi pengalaman yang cukup bermakna kerana Allahyarham melayannya dengan penuh mesra meskipun ketika itu dia masih baharu dalam industri seni.
“Tun seorang yang sangat baik, seperti seorang ‘angel’. Cara beliau melayan saya yang ketika itu masih muda dan baru dalam industri begitu baik.
“Tidak ada jurang yang besar, sedangkan kedudukan beliau sangat tinggi. Beliau ialah 'First Lady', tetapi ketika saya berjumpa dengannya ketika itu, suasananya sangat selesa dan tenang.
“Semuanya berjalan dengan begitu baik dan beliau tidak pernah membuatkan saya berasa kekok atau takut,” imbaunya lagi.
Dalam pada itu, Misha mengakui pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam kepadanya, apatah lagi generasinya membesar dalam era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham.
Katanya, pasangan berkenaan tidak hanya dilihat sebagai pemimpin negara, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan generasinya.
“Saya rasa kita memang umpama anak didik mereka. Kita berada di bawah naungan mereka dahulu, lama. Kita membesar dalam era itu.
“Kita melihat Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah bukan semata-mata sebagai pemimpin. Kita melihat beliau seperti seorang ayah dan ibu.
“Saya rasa semalam (Isnin) merupakan antara hari yang paling panjang dalam siri-siri hari yang menyedihkan dalam hidup saya,” ujarnya.
Misha turut berasa berbesar hati kerana pernah melalui detik peribadi bersama Allahyarham, selain masih mengingati sisi santai pasangan tersebut yang gemar bergurau.
Mengimbau kenangan ketika bertemu Tun Dr Mahathir semasa pementasan muzikal berkenaan, Misha berkata dia pernah meminta untuk bergambar bersama bekas Perdana Menteri itu.
“Saya minta mahu bergambar dengannya, arwah cakap, ‘boleh, RM5’.
“Betapa mereka memang suka bergurau dan tidak mahu kita berasa kekok. Mereka tidak mahu kita merasakan wujudnya jurang antara rakyat dan pembesar,” katanya.
Sementara itu, Misha kini bersiap untuk kembali menemui peminat menerusi showcase eksklusif Aku & Lelaki yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober 2026 di JioSpace, Petaling Jaya.
Showcase berkenaan menjadi sebahagian daripada perjalanan Misha menuju konsert ulang tahun ke-25 kerjaya seninya yang bakal berlangsung tahun depan, selain mengetengahkan konsep yang meraikan keseimbangan sisi maskulin dan feminin menerusi pilihan lagu serta persembahan.
Menerusi Aku & Lelaki, Misha bukan sahaja akan mempersembahkan lagu popular daripada katalog peribadinya, malah memberikan interpretasi tersendiri terhadap karya ikonik yang pernah dipopularkan penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

