Cuba pajak gelang emas palsu, lima individu ditahan

KOTA TINGGI - Taktik licik lima individu untuk memajak gelang emas palsu di kedai pajak gadai gagal apabila mereka ditahan polis di Sungai Rengit di sini pada jam 3 petang, Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata laporan diterima daripada pengurus kedai itu pada jam 1.58 petang yang memaklumkan menerima seutas gelang emas seberat 23 gram daripada seorang suspek.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati gelang emas berkenaan adalah palsu.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Rengit berjaya menahan lima suspek melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan bersama seorang wanita warga asing berusia antara 34 hingga 62 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Yusof berkata, semakan mendapati seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes penjualan emas palsu di Alor Setar, Kedah.
Tambahnya, dua lagi suspek pula mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.
“Polis percaya penahanan kelima-lima suspek itu dapat membantu siasatan terhadap beberapa kes berkaitan pemajakan atau penjualan emas palsu yang berlaku di sekitar daerah Kota Tinggi,” ujarnya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
“Mahkamah Majistret Pengerang kemudian membenarkan semua suspek direman selama tiga hari sehingga 2 Oktober bagi membantu siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
