Sardin, kembung makin sukar dibeli - SEAFIC

SEAFIC menerusi 'The Urban Squeeze: Raising the Floor for Economic Security and Mobility in Malaysia' mendapati, tekanan kos sara hidup dihadapi penduduk bandar.
SEAFIC menerusi 'The Urban Squeeze: Raising the Floor for Economic Security and Mobility in Malaysia' mendapati, tekanan kos sara hidup dihadapi penduduk bandar.
A
A
A

SHAH ALAM - Ikan sardin dan kembung yang selama ini dianggap antara pilihan makanan mampu milik kini semakin sukar dibeli oleh sesetengah isi rumah bandar.

Berdasarkan kajian Southeast Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC) menerusi 'The Urban Squeeze: Raising the Floor for Economic Security and Mobility in Malaysia' mendapati, tekanan kos sara hidup dihadapi penduduk bandar bukan sekadar berpunca daripada harga tinggi, tetapi turut melibatkan kos tidak menentu seperti makanan, pengangkutan dan utiliti.

Kajian bersama SEAFIC dan MySDG Centre for Social Inclusion (MySDG-CSI) itu berdasarkan kumpulan fokus membabitkan 15 penduduk berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) di Lembah Klang pada Ogos lalu.

Peserta terdiri daripada graduan baharu, ketua isi rumah, ibu tunggal bekerja, pekerja gig dan warga emas.

Menurut kajian itu, kos seperti sewa dan pinjaman lebih mudah dirancang, namun perbelanjaan yang berubah bagi makanan, utiliti dan pengangkutan menyukarkan isi rumah mengurus aliran kewangan bulanan.

"Dalam aspek makanan, cabarannya kurang berkaitan kelaparan tetapi lebih kepada pemakanan yang baik.

"Peserta berkata ikan sardin dan ikan kembung semakin sukar untuk dibeli, manakala sesetengah pemandu terpaksa melalui tempoh yang panjang tanpa makan ketika menjalankan syif mereka," menurut laporan itu.

Kajian sama turut mendapati keadaan pengangkutan awam yang kurang dipercayai turut menyebabkan pekerja terpaksa menanggung kos tambahan apabila menggunakan kenderaan sendiri.

Sebahagian pekerja muda pula dilapor menggunakan skim beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) bagi melancarkan aliran tunai.

Artikel Berkaitan:

Menurut SEAFIC, jurang itu boleh dikurangkan menerusi perancangan perumahan dan pengangkutan yang lebih bersepadu.

Dalam pada itu, kajian turut menyorot jurang antara kelayakan akademik dan peluang pekerjaan dalam kalangan graduan baharu.

"Peserta melaporkan menerima gaji sekitar RM2,000 hingga RM2,500, selain ada yang bekerja di luar bidang pengajian masing-masing.

"Pada masa sama, kos pensijilan profesional antara RM5,000 hingga RM20,000 dilihat berada di luar kemampuan mereka.

"Ramai turut bergantung kepada pekerjaan gig, namun pendapatan yang berubah-ubah menyukarkan mereka membuktikan pendapatan stabil bagi mendapatkan pinjaman perumahan," menurutnya.

Laporan penuh The Urban Squeeze: Raising the Floor for Economic Security and Mobility in Malaysia boleh didapati melalui laman sesawang SEAFIC.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!