PKPS bekal 27 produk Ehsan ke PERNAMA

KUANTAN – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan membekalkan 27 produk jenama Ehsan ke rangkaian Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) menerusi kerjasama strategik bagi menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah kepada anggota tentera.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Ts Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pemilihan produk dibuat berdasarkan analisis pasaran dengan memberi keutamaan kepada barangan yang mempunyai permintaan tinggi dan menjadi keperluan anggota tentera.
"Buat masa ini kita ada 27 barang yang akan kita masukkan ke dalam Pernama. Contohnya, kita ada Ehsan Chocomalt, Ehsan Sardin, beras lima kilogram, beras 10 kilogram, minyak masak dan semua barang-barang keperluan yang akan kita masukkan," katanya.
"Jadi, pemilihan produk ini akan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa menggunakan analisis secara bersama dengan PERNAMA bagi memastikan barangan ditawarkan memenuhi keperluan anggota tentera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian penutupan Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Edisi Pantai Timur di Dewan Sri Angkasa Pangkalan Udara di sini pada Isnin.
Sebelum itu, Dr Mohamad Khairil memberitahu, kerjasama tersebut telah dimulakan menerusi program Jualan Jimat PERNAMA di beberapa lokasi terpilih.
Menurutnya, program itu telah dilaksanakan di Kem Mahkota, Kluang; Pangkalan Udara Subang; Kem Terendak, Melaka dan Mentakab, Temerloh.
"Kita nampak dan kita dapat lihat sambutan yang kita terima amat menggalakkan.
"Produk-produk yang kita jual juga disukai dan boleh diterima oleh anggota-anggota tentera yang telah datang dalam masa jualan yang kita buat bersama dengan pihak PERNAMA," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Mohamad Khairil berkata, PKPS dan PERNAMA akan meneliti satu rangka kerja bagi memastikan harga produk yang ditawarkan dapat dikurangkan lagi.
"Kita akan bangunkan satu rangka kerja kukuh, bagaimana kita hendak laksanakan penurunan harga supaya harga yang kita ada sekarang ini 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada pembekal-pembekal ataupun kedai-kedai yang ada di luar.
“Kita akan lihat lagi berdasarkan syor daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebentar tadi, untuk kita turunkan harga supaya ia menjadi lebih murah dan lebih kompetitif berbanding pasaran yang ada di luar,” jelas
Menurut beliau, kawalan harga akan dilaksanakan secara bersama antara PKPS dan PERNAMA menerusi pasukan yang akan meneliti harga belian serta harga jualan.
“Kita akan ada pasukan yang akan duduk dan melihat supaya kebajikan serta harga belian dan harga jualan di dalam kem-kem ataupun di dalam PERNAMA itu adalah lebih rendah daripada pasaran,” katanya.
Menjawab mengenai jaminan bekalan, Dr Mohamad Khairil berkata, PKPS menggunakan kemudahan Gudang Makanan Selangor sebagai tempat penyimpanan stok makanan bagi menyokong keperluan bekalan produk untuk program bersama PERNAMA.
Katanya, kemudahan itu membolehkan PKPS memastikan produk yang diperoleh mencukupi sebelum diedarkan ke lokasi pelaksanaan program.
“Kita ada satu program yang kita gelar Gudang Makanan Selangor dan gudang makanan ini kita gunakan sebagai stok penyimpanan makanan.
“Kita perlu memastikan produk-produk yang akan kita bekalkan serta produk yang kita perolehi semuanya ada dan mencukupi untuk kita edarkan serta letakkan di dalam outlet-outlet yang akan kita adakan program secara bersama dengan PERNAMA,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan kerjasama itu dapat diteruskan dalam tempoh panjang, PKPS dan PERNAMA akan mengadakan perbincangan untuk melihat model pelaksanaan yang sesuai.
“Kita ada jawatankuasa yang akan bersidang untuk melihat rangka kerja kukuh bagaimana kita hendak melaksanakan kerjasama ini serta memastikan program ini lebih mampan untuk jangka masa panjang kepada anggota-anggota tentera kita,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar PERNAMA, Mat Rostam Mat Abas berkata, pihaknya melihat penglibatan PKPS sebagai peluang baik berikutan kekuatan agensi itu dalam pengedaran barangan segar dan sejuk beku.
"Kita harap dengan PKPS ini, kita dapat kawal harga itu supaya anggota tentera mendapat manfaat," katanya.
Tambah beliau, PERNAMA juga akan meneliti kaedah terbaik bagi memperluaskan penawaran produk segar menerusi perbincangan bersama PKPS.
"Jadi, kita rancang untuk lihat sama ada kita buka satu sudut dalam kedai PERNAMA untuk barangan basah ataupun satu lot jualan khas untuk barangan-barangan ini.
"Jadi, harapnya kita boleh perluaskan benda ini dengan cepat untuk kebaikan dan kesejahteraan anggota tentera," jelasnya
Lokasi jualan JIMAT bersama PERNAMA
1. Kem Kementah,KL
2. Pangkalan TLDM Lumut
3. Kem Mahkota,Kluang
4. Kem Terendak,Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

