Bekas Pengarah Besar didakwa perdaya Lembaga Pengarah tukar hak milik 16 tanah Felda

Faizoull (tengah) yang memakai topi dan berkemeja berwarna kelabu dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Faizoull (tengah) yang memakai topi dan berkemeja berwarna kelabu dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas satu pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah agensi kerajaan itu berhubung pemberian kuasa kepada sebuah syarikat untuk menukar hak milik 16 tanah Felda pada 12 tahun lalu.

Faizoull, 66, yang memakai kemeja berwarna kelabu, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai Pengarah Besar Felda telah memperdayakan Lembaga Pengarah agensi berkenaan dengan menyembunyikan fakta bahawa surat kuasa wakil bertarikh 3 Jun 2014 memberikan kuasa kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd untuk menukar hak milik tanah-tanah kepunyaan Felda.

Ia membabitkan projek Cadangan Pembangunan Lot Felda di 16 tanah di Jalan Semarak di sini.

Kesalahan itu mendorong Lembaga Pengarah Felda bersetuju dengan Power of Attorney tersebut, menyebabkan tanah-tanah kepunyaan Felda ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade.

Sedangkan Lembaga Pengarah tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan. 

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Menara Felda, Persiaran KLCC di sini pada 2 September 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), N Joy Jothi sementara tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri Mohamed.

Artikel Berkaitan:

AKAN MENYUSUL 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!