Dua penghantar barang dipenjara 30 tahun, 12 sebatan edar 139kg kanabis

Dua penghantar barang dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 139 kilogram (kg), empat tahun lepas. Gambar hiasan
Dua penghantar barang dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 139 kilogram (kg), empat tahun lepas. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua penghantar barang dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 139 kilogram (kg), empat tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas S Mohan, 38, dan Ahmad Shamil Abdul Rashid, 28, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan bagi kedua-dua tertuduh bermula dari tarikh mereka ditangkap, iaitu pada 31 Mei 2022.

Kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 139,019.3 gram di sebuah kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah, Bangsar di sini pada jam 2 petang, 31 Mei 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika tidak dihukum mati boleh juga dihukum penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis yang menjalankan pemerhatian di pusat beli-belah berkenaan, melihat kedua-dua tertuduh sedang memindahkan beberapa beg dan paket plastik dari sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire ke dalam sebuah Proton Preve.

Semasa serbuan dijalankan, Ahmad Shamil sempat melarikan diri dengan Toyota Vellfire berkenaan, sebelum ditangkap di kawasan berhampiran dan dibawa kembali ke lokasi kejadian.

Pemeriksaan ke atas Toyota Vellfire tidak menemukan sebarang dadah, namun pemeriksaan lanjut ke atas Proton Preve, telah menjumpai dadah yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir memohon hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap kedua-dua lelaki itu, dengan mengambil kira berat dadah iaitu 139kg yang disifatkan sebagai jumlah yang besar.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainudin yang mewakili Mohan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara minimum, dengan mengambil kira tempoh anak guamnya berada dalam tahanan sejak Mei 2022, selain tertuduh telah insaf atas perbuatannya.

Sementara itu, peguam Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili Ahmad Shamil turut memohon tempoh pemenjaraan dipertimbangkan kerana tempoh anak guamnya berada dalam tahanan sejak 2022. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!