Ahli perniagaan tidak mengaku pecah amanah wang syarikat lebih setengah juta

KUANTAN - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah RM572,573.50 antara September hingga November 2024.
Tertuduh, Tea Kain Chuan, 55, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie dalam prosiding pendakwaan pada Rabu.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang bertindak sebagai ejen pemegang amanah akaun di syarikat Juta Juara Sdn Bhd didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang berjumlah RM572,573.50 milik syarikat berkenaan dengan membuat pembayaran ke tiga akaun bank milik syarikat lain bagi tujuan yang bertentangan dengan amanah dan kepentingan syarikat itu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan oleh Kain Chuan di Jalan Haji Abdul Rahman di sini antara 4 September hingga 29 November 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Khamisah Ismail menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya menghidap diabetes dan memperoleh pendapatan antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan sebagai ahli perniagaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah untuk disimpan hingga kes selesai, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen pada 18 Januari 2027.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

