Amang seksual dua murid: Guru KAFA dipenjara lapan tahun, 12 sebatan

Seorang guru KAFA didapati bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan di sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu. - Gambar hiasan
Seorang guru KAFA didapati bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan di sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 12 sebatan ke atas seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan di sebuah sekolah rendah dalam daerah ini.

Hukuman itu diputuskan ​Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli terhadap tertuduh, Mohd Muslim Mohd Suhimin, 46, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

​Berdasarkan pertuduhan terhadap mangsa pertama, Mohd Muslim didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payudara seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di dalam kelas sekitar jam 3 petang pada 15 November 2023.

​Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula tarikh sabitan serta satu sebatan.

Tertuduh turut dikenakan hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu penjara setahun dan dua sebatan yang diperintahkan berjalan secara berasingan selepas selesai hukuman utama, selain dikenakan pengawasan polis selama dua tahun di Balai Polis Manir.

​"Bukan sahaja maruah mangsa dicabuli, bahkan kepercayaan ibu bapa serta tanggungjawab yang diberikan oleh institusi yang mulia seperti sekolah, khususnya kelas KAFA yang menjadi tempat pembelajaran ilmu agama turut gagal dilaksanakan oleh tertuduh," hujah Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asymawi Ghazali.

​Sementara itu, bagi tiga lagi pertuduhan melibatkan mangsa kedua iaitu kanak-kanak perempuan berusia antara lapan dan sembilan tahun ketika itu, tertuduh didapati bersalah memegang payudara, menggosok payudara, serta memegang kemaluan mangsa di lokasi sama antara Julai 2022 hingga Mei 2023.

​Bagi kesalahan terhadap mangsa kedua itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing tujuh tahun, lima tahun, dan lima tahun berserta satu sebatan bagi setiap pertuduhan, selain hukuman tambahan penjara setahun dan enam sebatan.

​Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

​Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara bagi empat pertuduhan tersebut berjalan secara serentak, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman yang perlu dijalani tertuduh adalah lapan tahun penjara dan 12 sebatan.

​Pendakwaan kes itu dikendalikan bersama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim dan Muhammad Asymawi Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd Radhia Abd Ghani.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!