Hujan luar biasa bukan alasan, pihak berkuasa bertanggungjawab banjir Taman Sri Muda

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memutuskan, hujan lebat luar biasa bukan alasan untuk pihak berkuasa terlepas daripada tanggungjawab terhadap banjir besar yang melanda Taman Sri Muda pada Disember 2021.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Shoba Rajah Dorai Rajah memutuskan demikian, selepas mendapati Kerajaan dan enam pihak lain selaku defendan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerugian yang dialami 50 penduduk kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 6 Oktober depan untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran taksiran ganti rugi.
Sebelum ini, seramai 50 penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini memfailkan saman terhadap kerajaan dan sembilan pihak lain dengan mendakwa berlaku kecuaian serta pelanggaran tanggungjawab dalam pengurusan banjir, sistem saliran, amaran cuaca dan tindak balas bencana.
Mereka menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,767,148.51 selain ganti rugi am dan ganti rugi tambahan.
Mereka menamakan ketua pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Menteri Alam Sekitar dan Air, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Bandaraya Shah Alam, dan Kerajaan.
Tuntutan terhadap defendan ketujuh dan kelapan, KDEB Waste Management dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dihentikan oleh semua penduduk itu selaku plaintif pada permulaan perbicaraan, sementara tuntutan terhadap Kerajaan negeri Selangor selaku defendan kesembilan dibatalkan oleh mahkamah sebelum perbicaraan bermula.
Semasa membaca keputusan penghakimannya, beliau menolak hujahan pembelaan defendan, berdasarkan prinsip ‘Act of God’ kerana mendapati kegagalan operasi pihak berkuasa telah memburukkan keadaan, melambatkan surutnya air banjir dan meningkatkan kerosakan.
Menurutnya, hujan lebat di negara tropika merupakan kejadian yang boleh dijangka dan hujan luar biasa semata-mata tidak mencukupi untuk membebaskan pihak berkuasa daripada liabiliti.
“Defendan perlu membuktikan kejadian berkenaan begitu luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga tiada persediaan atau tindak balas munasabah mampu menghalang atau mengurangkan kerosakan.
“Kegagalan operasi yang dibuktikan penduduk menyebabkan hujan lebat itu tidak boleh dijadikan pembelaan sepenuhnya,” katanya.
Shoba berkata, pihak berkuasa awam boleh dipertanggungjawabkan sekiranya gagal melaksanakan tugas operasi masing-masing.
Menurutnya, apabila sesuatu pihak berkuasa mengambil tanggungjawab terhadap pengurusan bencana, pemantauan cuaca, infrastruktur saliran atau operasi kawalan banjir, mereka mempunyai kewajipan melaksanakan tugas berkenaan dengan penjagaan dan kecekapan yang munasabah.
Mahkamah mendapati Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mungkir kewajipan operasi masing-masing dalam pengurusan bencana, pemantauan cuaca serta penyampaian amaran risiko banjir.
“Kerajaan Persekutuan turut didapati bertanggungjawab terhadap kegagalan operasi kedua-dua agensi berkenaan, termasuk liabiliti berikutan kegagalan agensi di bawah seliaannya.
“Bagi JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Selangor, mahkamah menolak hujahan bahawa jabatan itu tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana jumlah hujan melebihi kapasiti reka bentuk asal infrastruktur tebatan banjir,” katanya.
Shoba berkata, JPS mempunyai kewajipan berterusan untuk mengurus, menyelenggara dan mengendalikan infrastruktur berkenaan dengan baik selepas ia dibina dan diletakkan di bawah kawalannya.
Beliau turut mendapati kelemahan dalam penyediaan sistem pam sokongan selepas bekalan elektrik terputus ketika banjir berlaku.
“JPS kekal bertanggungjawab memastikan langkah kecemasan yang mencukupi tersedia sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik,” katanya.
Mahkamah turut mendapati, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertanggungjawab atas kecuaian, termasuk kegagalan menyelenggara sistem perparitan dalam bidang kuasanya.
Katanya, hujahan MBSA bahawa aset utama kawalan banjir seperti kolam takungan dan kemudahan pam merupakan milik JPS turut ditolak.
Menurut Shoba, pemilikan aset berkenaan tidak menghapuskan tanggungjawab MBSA terhadap penyelenggaraan longkang dan infrastruktur berkaitan.
Mahkamah juga mendapati kebergantungan MBSA kepada pelan pembangunan lama tanpa penilaian mencukupi terhadap risiko semasa merupakan kecuaian perancangan dan pelanggaran kewajipan.
Mahkamah seterusnya memutuskan, penduduk tidak perlu membuktikan satu kegagalan khusus oleh mana-mana defendan menjadi punca kepada keseluruhan kerosakan.
Sebaliknya beliau berkata, tindakan dan kegagalan secara bersama pihak berkuasa terbabit didapati menyumbang secara material kepada kerugian penduduk.
Dalam prosiding ini, penduduk diwakili peguam, James Joshua Paulraj, P Taneswaran, Datuk Gobinath Mohanna, Regine Ng dan Ahmad Badri Mustaffa.
Sementara Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Liew Horng Bin, hadir bagi pihak Kerajaan serta JPS Selangor dan MBSA masing-masing oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Faris Shah Kamarulzaman dan peguam, Norazalina Hairuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

