Wakaf tunai ATM diperluas seluruh negara menjelang 2030

KUANTAN - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperluaskan inisiatif wakaf tunai ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menjelang 2030.
Ketua Pengarah Bahagian Kerohanian Islam (BKI) ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujal berkata, Pahang menjadi negeri perintis inisiatif tersebut sebelum pelaksanaan berkenaan diperluaskan secara berperingkat.
“Sebenarnya di negeri-negeri lain kita belum buat lagi, tetapi dalam proses kita akan buat di seluruh kem dan pasukan keselamatan ATM.
"Seluruh negeri kita akan jelajahi bagi memberikan penerangan dan penjelasan kepada pegawai serta anggota di negeri-negeri tersebut mengenai perkara itu.
“Kalau ikut saya, tempoh untuk kita selesaikan usaha ini adalah sehingga 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Wakalah Zakat dan Pelancaran Wakaf Tunai ATM Negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Majlis berkenaan diadakan dengan kerjasama Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZW Pahang), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta BKI ATM.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKZW Pahang, Dr Mohd Azmi Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain.

Mengulas lanjut, Mohd Rashidi berkata, program berkenaan merupakan kerjasama kali kedua antara ATM dan PKZW Pahang.
Ujarnya, kerjasama kali ini turut memperkenalkan pelaksanaan wakaf tunai selain usaha meningkatkan penyertaan anggota dan pegawai dalam menunaikan zakat.
“Kali ini kita bukan sahaja menambah bilangan anggota dan pegawai untuk menunaikan zakat, malahan kita lancarkan lagi satu program baharu iaitu wakaf tunai,” katanya.
Mohd Rashidi turut memberitahu, pulangan wakalah zakat yang diterima daripada pusat zakat negeri akan disalurkan semula kepada Tabung Kebajikan ATM bagi membiayai program kebajikan dan kerohanian warga tentera.
Sementara itu, Dr Mohd Azmi Othman berkata, pihaknya menyasarkan 2,000 pewakaf baharu dalam kalangan anggota ATM di Pahang menerusi wakaf tunai dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.
Menurutnya, sasaran berkenaan membabitkan kira-kira 8,150 anggota ATM beragama Islam daripada 31 pasukan di negeri ini.
“Alhamdulillah pada hari ini kita melaksanakan kempen zakat dan wakaf bagi membuat lonjakan dalam tempoh tiga bulan terakhir pada tahun ini kerana kita berhasrat agar semua anggota di Pahang ini satu anggota, satu wakaf,” katanya.
Beliau memberitahu, kempen berkenaan turut akan diserapkan menerusi program kem kerohanian sedia ada yang menerima geran berkaitan bagi memperluaskan penyertaan dalam kalangan anggota ATM.
“Kami akan masuk mensasarkan pada geran yang telah diberikan seperti kem kerohanian. Jadi dalam program tersebutlah kita akan masukkan elemen kempen zakat dan wakaf,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Azmi berkata, PKZW Pahang turut menyasarkan jumlah pembayar zakat dalam kalangan anggota ATM di negeri ini meningkat.
“Untuk zakat daripada 2,000 kepada 3,000 orang pembayar zakat sebab zakat dia ada nisab, lebih kurang RM4,092 baru wajib membayar zakat.
“Jadi kita kena membuat kiraan ataupun satu program untuk memastikan tentera membuat taksiran dengan tepat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

