Noor Azmi mohon maaf hadir jamuan ketika PKP

Foto tular menunjukkan Noor Azmi dan Exco Perak bersama-sama individu lain sedang menikmati jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Perak Jumaat lalu semasa PKP sedang dilaksanakan.
Foto tular menunjukkan Noor Azmi dan Exco Perak bersama-sama individu lain sedang menikmati jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Perak Jumaat lalu semasa PKP sedang dilaksanakan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat atas kekhilafan membabitkan dirinya.

“Saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan mengakui kekhilafan berhubung kehadiran saya di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong, Perak pada Jumaat, 17 April lalu.

"Saya menghargai pengorbanan besar yang dilakukan oleh barisan hadapan seperti polis, tentera, petugas Kementerian Kesihatan dan agensi lain dalam menangani wabak (koronavirus) Covid-19," katanya.

Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai membuat permohonan maaf secara terbuka itu menerusi satu kenyataan media hari ini.

Kelmarin, tular di media sosial gambar Noor Azmi dan beberapa individu termasuk Exco Perak, Razman Zakaria hadir jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 sedang dilaksanakan.

Difahamkan Noor Azmi ketika itu membuat lawatan rasmi ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk meninjau situasi semasa petugas kesihatan di sana menangani wabak Covid-19.

Menurut Noor Azmi, berhubung kenyataan pihak polis akan memanggil dan mengambil keterangan berhubung insiden berkenaan, beliau menjelaskan telah memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya petang tadi.

"Saya sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan insiden berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga menghargai komitmen pihak polis dalam menjalankan tanggungjawab mereka menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira latar belakang individu, jawatan dan sebagainya.

"Semoga seluruh rakyat Malaysia terus diberikan kesabaran dan tenang berdepan dengan segala kesukaran yang dihadapi sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

Semalam, Razman turut membuat permohonan maaf secara terbuka itu menerusi akaun Facebook beliau.