Tun Dr Hasmah sumber kekuatan Tun Mahathir - Johan Jaaffar

SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menyifatkan Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali sebagai sumber kekuatan dan ketabahan kepada suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Johan berkata, Allahyarham juga merupakan 'Ibu Negara yang sebenar' selain menjadi sumber harapan kepada wanita di negara ini.
"Saya sedang mengembara di suatu tempat di Himalaya. Saya amat berdukacita menerima berita pemergian Tun Siti Hasmah. Beliau ialah belahan jiwa Tun Mahathir menjadi sumber kekuatan dan ketabahan yang teguh.
"Beliau ialah Ibu Negara yang sebenar. Kami menyayanginya kerana ketabahan, kebijaksanaan dan bimbingannya," katanya pada Isnin.
Allahyarham Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Allahyarham berkahwin dengan Dr Mahathir pada 1956 dan dikurniakan empat anak kandung, Marina, Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz, selain mempunyai tiga anak angkat iaitu Melinda, Mazhar dan Maizura.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20 jam 6.20 petang Isnin.
Pengebumian Allahyarham diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Mengulas lanjut, Johan berkata, Allahyarham sentiasa menjadi sumber harapan kepada wanita di negara ini, dengan memberi inspirasi kepada mereka untuk mencapai kejayaan.
"Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama roh mereka yang beriman. Amin. Al-Fatihah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
