Shahrol Shiro hanya beri latihan amali, tidak libatkan pengajaran dalam kuliah - UKM

Shahrol Shiro hanya memberi latihan amali dan praktikal, tanpa melibatkan pengajaran dalam kuliah Kursus Citra UKM.
Shahrol Shiro hanya memberi latihan amali dan praktikal, tanpa melibatkan pengajaran dalam kuliah Kursus Citra UKM.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelawak dan penggiat seni, Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, hanya memberi latihan amali dan praktikal, tanpa melibatkan pengajaran dalam kuliah Kursus Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

UKM memaklumkan, lantikan pelawak itu berdasarkan pengalamannya sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.

"Shahrol Shiro dilantik sebagai pengajar sambilan Kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon yang mengkhususkan kepada 'stand-up comedy' di UKM.

"Kursus Citra UKM (Seni Lakon) adalah kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan serta persembahan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini Shahrol, 42, berkongsi mengenai pelantikannya sebagai tenaga pengajar di universiti berkenaan bagi Semester I sesi 2026/2027.

Walau bagaimanapun, pelantikan pelawak itu mengundang persoalan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat di media sosial.

Ia dibangkitkan menerusi Threads apabila seorang pengguna meminta penjelasan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung kelayakan serta rasional pelantikan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, UKM turut mengesahkan pelantikan Shahrol sebagai tenaga pengajar sambilan Citra Universiti di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC).

FPSC adalah fakulti yang mengkhususkan kepada pengajian transdisiplin, pengajian umum termasuk kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!