Komuniti Muslim bantah roboh masjid bersejarah

UJJAIN - Ratusan penduduk berhimpun di sekitar Masjid Shahi yang berusia lebih seabad di Ujjain, Madhya Pradesh di India bagi menghalang pelaksanaan arahan merobohkan sebahagian struktur untuk projek pelebaran jalan menjelang perhimpunan keagamaan Simhastha Kumbh 2028.
Pertempuran ganas turut tercetus antara pihak berkuasa dan kumpulan tersebut pada Isnin selepas gas pemedih mata dilepaskan untuk menyuraikan mereka.
Jumlah demonstran yang menyertai bantahan itu meningkat pada malam sebelumnya selepas beberapa jentolak ditempatkan di luar masjid bersejarah tersebut sebagai persediaan untuk kerja perobohan walaupun pertikaian berhubung perkara itu masih belum selesai.
Komuniti Muslim di kawasan berkenaan telah berkampung di pekarangan masjid selama beberapa minggu bagi menghalang tindakan itu
"Terdapat 28 masjid lain yang turut berdepan risiko sama. Mana-mana masjid tidak boleh dirobohkan sewenang-wenangnya hanya kerana ia berada di laluan sesuatu projek," ujar ulama terkenal dari Indore, Mufti Junaid.
Projek pelebaran jalan sepanjang 730 meter (m) dari Khajur Wali Masjid ke Ganesh Chowk bertujuan menyediakan laluan selebar 15m bagi menampung kehadiran penganut Hindu berhampiran Kuil Mahakaleshwar.
Projek itu dijangka menjejaskan 272 struktur termasuk sebahagian dewan solat (Jamat Khana), menara setinggi 37m dan binaan Mazhar Chouk Shahi di Masjid Shahi.
Mahkamah Tinggi Madhya Pradesh, baru-baru ini menolak dua petisyen yang mencabar notis perobohan dikeluarkan Perbadanan Perbandaran Ujjain. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

