[VIDEO] Penganggur dipenjara tujuh tahun cuba rompak kedai jam
GEORGE TOWN- Seorang penganggur dikenakan penjara tujuh tahun dengan tiga sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cubaan rompakan dengan menggunakan kapak di sebuah kedai jam, di sini pada minggu lalu.
Ng Peng Kim, 43 membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen 2 selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Irwan memerintahkan hukuman tersebut bermula dari Isnin selepas mengambil kira fakta kes, rayuan mitigasi Peng Kim serta hujahan pihak pendakwaan yang memohon hukuman lebih berat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba melakukan rompakan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ong Soo Jin, 59.
Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda dan sebat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis Ban Hin Seng Watch Enterprise di Jalan Anson pada jam 4.38 petang, 21 September lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah masuk ke premis berkenaan sambil membawa senjata kapak lalu cuba merompak mangsa lalu berlaku pergelutan antara tertuduh dengan mangsa.
Akibat daripada itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan kerana terkena senjata iaitu kapak yang dibawa tertuduh.
Tertuduh kemudiannya ditahan di sebuah kawasan parkir di sebuah kediaman mewah di Tanjung Tokong sehari selepas kejadian.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, tertuduh memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai pekerjaan sebelum ditahan dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan serta meminta tempoh pemenjaraannya dikira bermula dari tarikh dia ditangkap.
Jun Keong bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan alasan kesalahan itu serius dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Penggunaan kapak yang berpotensi menyebabkan kematian merupakan faktor yang memburukkan kesalahan berkenaan selain mangsa turut mengalami kecederaan.
“Hukuman yang dijatuhkan perlu menjadi pengajaran dan pencegahan kepada tertuduh serta memberi peringatan kepada masyarakat bahawa kesalahan sedemikian akan dipandang serius,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

