'Tun Dr Hasmah tokoh wanita banyak berjasa kepada negara' – Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali merupakan kehilangan besar buat negara susulan jasa dan sumbangannya sebagai doktor, tokoh masyarakat serta wanita yang banyak menabur bakti kepada rakyat.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Allahyarham bukan sekadar dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malah mempunyai jasa dan sumbangan tersendiri kepada negara.
"Dalam perjalanan panjang kehidupan Tun Dr Mahathir, Almarhumah sentiasa berada di sisi, melalui pelbagai fasa suka dan duka, ketika berada di puncak kepimpinan negara mahupun selepasnya.
"Sebuah perjalanan bersama yang panjang dan tentunya meninggalkan begitu banyak kenangan," katanya menerusi hantara di Facebook pada Isnin.
Dr Hasmah meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada usia 100 tahun.
Berita pemergian beliau disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Allahyarham berkahwin dengan Dr Mahathir pada tahun 1956 dan dikurniakan empat anak kandung, Datin Paduka Marina, Tan Sri Mirzan, Tan Sri Mokhzani dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz, selain mempunyai tiga anak angkat iaitu Melinda, Mazhar serta Maizura.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menzahirkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir serta seluruh ahli keluarga atas pemergian Allahyarham.
"Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosa Almarhumah, merahmati rohnya, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang solehah.
"Semoga Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan menghadapi kehilangan insan yang amat dikasihi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

