Pemergian Tun Dr Hasmah, Rafizi terkenang insan tersayang

SHAH ALAM- “Ternyata belum siap aku kehilangan dirimu, belum sanggup untuk jauh darimu, yang masih selalu ada dalam hatiku."
Demikian luahan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli ketika berkongsi perasaan susulan berita pemergian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Beliau berkata, berita itu membuatkannya memikirkan soal usia dan menyedari bahawa kematian semakin dekat.
"Ada pelbagai reaksi sedih dengan berita kematian Tun Dr Hasmah Ali, rata-ratanya diiringi doa. Kita terkesan dengan pelbagai cara.
"Saya mengira umur. Tahu bahawa kubur semakin dekat untuk saya, isteri. Apatah lagi ibu bapa yang sudah berumur.
"Urusan bagi mereka yang kita tinggalkan, sekiranya kita mati, belum semuanya terurus. Belum bersedia sekiranya orang yang terdekat dengan kita meninggalkan kita secara tiba-tiba," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Tun Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi Isnin sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Allahyarham dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Ogos 1956.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kehilangan orang yang disayangi itu akan mematikan sebahagian jiwa yang mungkin tidak akan pulih buat selamanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya setiap individu menjaga orang yang disayangi sebaiknya.
"Jagalah orang yang kita sayang sebaiknya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
