Puluhan ikan lampan, jelawat mati akibat kurang oksigen

PARIT - Peralihan cuaca dan kekurangan oksigen mengakibatkan puluhan ikan mati di Tasik Majlis Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Majlis Daerah Perak Tengah selepas menemui bangkai ikan dalam kuantiti yang banyak di tasik berkenaan.
Menurutnya, susulan laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah telah menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.
"Siasatan yang turut melibatkan Jabatan Perikanan Perak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak itu mendapati hanya dua jenis ikan ditemui mati iaitu ikan lampam dan ikan jelawat.
"JAS kemudiannya telah mengambil sampel air tasik untuk tujuan analisis lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Perak mengesahkan kematian ikan tersebut berpunca daripada faktor semula jadi iaitu perubahan cuaca yang menyebabkan kandungan oksigen dalam air berkurangan.
"Keadaan itu memberi kesan kepada hidupan akuatik sehingga menyebabkan kematian ikan dalam jumlah tertentu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

