Emas Sukan Asia realisasikan impian Sivasangari ke Olimpik

Sivasangari sebak ketika lagu Negaraku berkumandang bagi meraikan kejayaan Malaysia meraih emas acara skuasy Sukan Asia Aichi-Nagoya pada Ahad. Foto Bernama.
Sivasangari sebak ketika lagu Negaraku berkumandang bagi meraikan kejayaan Malaysia meraih emas acara skuasy Sukan Asia Aichi-Nagoya pada Ahad. Foto Bernama.
A
A
A

IMPIAN S Sivasangari untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik akhirnya menjadi kenyataan apabila kejayaan mempertahankan emas perseorangan wanita di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menghadiahkan tiket automatik ke Los Angeles 2028 (LA28).

Lebih manis, pemain nombor lima dunia itu mencapai sasaran tersebut selepas menewaskan pemain India, Anahat Singh, 11-4, 11-4, 11-7 pada aksi final di Nagoya Kinjo Futo Arena, pada Ahad.

Kejayaan berkenaan bagaimanapun bukan noktah buat pemain kelahiran Kedah itu yang mahu bekerja lebih keras untuk memperbaiki kedudukan ranking sebelum temasya Olimpik pertama sukan tersebut.

"Dengan memenangi emas ini, saya mendapat tiket ke Olimpik, yang sememangnya sangat besar maknanya. Ia sudah menjadi satu impian yang menjadi kenyataan.

"Saya perlu bekerja lebih keras. Banyak lagi kejohanan akan datang dan saya mahu terus memperbaiki kedudukan ranking," katanya.

Sivasangari berkata, tekanan kali ini sedikit lebih tinggi kerana hadir sebagai pilihan utama, namun berpuas hati kerana mampu mengawal emosi dan mengekalkan fokus sepanjang kejohanan.

"Saya sangat gembira dengan cara saya bermain hari ini. Dia (Anahat) adalah lawan yang sangat berbahaya.

"Tekanan kali ini sedikit lebih tinggi, tetapi saya gembira dengan cara saya mengawal emosi sepanjang minggu ini," katanya.

Kemenangan itu turut menyaksikan Sivasangari mengekalkan rekod sempurna ke atas Anahat selepas menewaskan pemain nombor 17 dunia itu dalam kesemua tiga pertemuan mereka setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sivasangari turut menyasarkan untuk memperbaiki ranking ke kelompok tiga terbaik dunia menjelang akhir musim, sebelum mengintai kedudukan nombor satu dunia.

"Saya harap dapat melakukannya dan akhirnya menjadi pemain nombor satu dunia serta memenangi emas Olimpik," katanya.

Juara perseorangan lelaki dan wanita di Sukan Asia diberikan kelayakan automatik ke LA28, sekali gus menjadikan kejayaan di Aichi-Nagoya sebagai detik penting buat Sivasangari ketika skuasy membuat penampilan sulung di temasya Olimpik.

Kejayaan kali ini turut menyaksikan Sivasangari mempertahankan gelaran yang dimenanginya di Hangzhou 2022, selepas meraih perak pada penampilan sulungnya di Jakarta-Palembang 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!