Sivasangari terlepas final Qatar Classic

PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari tidak berjaya melangkah ke final Kejohanan Qatar Classic selepas akur kepada pemain nombor satu dunia dari Mesir, Hania El Hammamy, pada aksi separuh akhir di Doha, semalam.
Sivasangari yang turun selaku pilihan keempat memulakan aksi dengan baik apabila memenangi set pertama 11-8.
Bagaimanapun, Hania bangkit menguasai dua set berikutnya 11-9, 15-13 sebelum Sivasangari kembali memperkemas permainan untuk merampas set keempat 11-8, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pertarungan sengit berterusan pada set kelima sebelum Hania mempamerkan ketenangan pada saat genting untuk menang 12-10, sekali gus menamatkan cabaran wakil Malaysia itu.
Hania dijadual berdepan rakan senegara Amina Orfi pada aksi final selepas pemain berkenaan menewaskan Jasmine Hutton dari England 11-5, 11-6, 11-6 dalam satu lagi aksi separuh akhir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
