SPRM tiada kompromi sindiket kaut untung haram hak rakyat - Abd Halim

Kakitangan SPRM Kelantan bergambar bersama Abd Halim di Kota Bharu. - FOTO: SPRM
Kakitangan SPRM Kelantan bergambar bersama Abd Halim di Kota Bharu. - FOTO: SPRM
A
A
A

KOTA BHARU - Isu penyelewengan subsidi diesel dan ekosistem nelayan antara perkara yang diberi perhatian serius Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kelantan dalam usaha menutup ruang kebocoran hak rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kedudukan Kelantan yang mempunyai kawasan sempadan dan pesisir pantai menjadikan kegiatan penyelewengan subsidi komoditi, khususnya bahan api diesel, perlu diberi perhatian serius.

“Langkah penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah, pembalakan dan perlombongan haram yang merosakkan khazanah alam.

“Pada masa sama, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di peringkat daerah dan agensi negeri perlu dipantau secara ketat bagi menutup rapat ruang salah guna kuasa, termasuk penyelewengan lesen perniagaan kepada warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke SPRM Kelantan di Kompleks SPRM Kelantan di sini pada Ahad.

Menurutnya, antara keutamaan strategik yang turut diberi perhatian SPRM ialah penguatkuasaan kelestarian alam sekitar, tatakelola di peringkat pentadbiran tempatan serta strategi pencegahan.

Abd Halim (kanan) menandatangani buku pelawat semasa tiba di pejabat SPRM Kelantan sambil diiringi Azmin. - FOTO: SPRM
Abd Halim (kanan) menandatangani buku pelawat semasa tiba di pejabat SPRM Kelantan sambil diiringi Azmin. - FOTO: SPRM

Abd Halim berkata, pendekatan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berhemah dan bijaksana, namun kekal berkesan menerusi risikan yang tajam, analitikal serta berorientasikan hasil.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keberkesanan sesuatu tindakan tidak hanya diukur melalui tindakan drastik, sebaliknya kemampuan risikan mengenal pasti kegiatan dan rantaian yang terlibat juga menjadi asas penting dalam membanteras jenayah kolar putih.

“SPRM tidak berkompromi dengan mana-mana rantaian sindiket yang mengaut keuntungan haram daripada hak rakyat,” katanya.

Dalam aspek pencegahan, beliau meminta Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas) memperbanyakkan sesi dialog dan forum bersama masyarakat selain memperkukuh pendekatan kreatif bagi menarik minat golongan muda.

Sementara itu, Abd Halim turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff yang bersara pada Isnin.

Lawatan kerja itu turut melibatkan tinjauan ke beberapa fasiliti SPRM Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!