Remaja 16 tahun antara lima ditahan kes curi motosikal

Rangka motosikal yang ditemui susulan tangkapan lima lelaki di Bachok. Foto PDRM
Rangka motosikal yang ditemui susulan tangkapan lima lelaki di Bachok. Foto PDRM
A
A
A

BACHOK - Seorang remaja berusia 16 tahun antara lima lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Bachok sejak awal September lalu.

Kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 22 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok bersama anggota Balai Polis Bachok dalam operasi 24 September lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, operasi dijalankan susulan beberapa kejadian curi motosikal yang dilaporkan berlaku di daerah itu.

Antara motosikal yang dicuri oleh kumpulan terbabit di Bachok. Foto PDRM
Antara motosikal yang dicuri oleh kumpulan terbabit di Bachok. Foto PDRM

Menurutnya, kelima-lima suspek ditahan antara jam 5 petang hingga 7 malam selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan kegiatan kumpulan terbabit.

“Hasil operasi, polis merampas sebuah motosikal Honda EX5 berwarna hitam, sebuah Yamaha LC berwarna merah, satu rangka motosikal berwarna biru serta dua kunci motosikal.

“Polis turut merampas sebuah enjin motosikal dan kulit enjin yang nombornya telah diganggu atau dicanai,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Komponen motosikal curi yang dirampas. Foto PDRM
Komponen motosikal curi yang dirampas. Foto PDRM

Mohamad Ismail berkata, soal siasat awal mendapati kesemua suspek mengaku terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal terutama motosikal jenis Honda EX5.

“Mereka juga mendakwa mula aktif mencuri motosikal sejak awal September lalu di sekitar Bachok,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 25 hingga 28 September ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!