Warga Pakistan ditahan, rokok tidak bercukai RM36,000 dirampas

Polis menahan seorang lelaki 48 tahun yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia selepas dipercayai memiliki rokok tidak bercukai. Gambar hiasan
Polis menahan seorang lelaki 48 tahun yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia selepas dipercayai memiliki rokok tidak bercukai. Gambar hiasan
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas dipercayai memiliki rokok tidak bercukai bernilai kira-kira RM36,000 dalam satu pemeriksaan di Jalan Douglas di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 1 tengah hari oleh sepasukan anggota Cawangan Risik/Task Force Batalion 3 Bidor yang menjalankan Op Taring Alpha I.

Menurutnya, pihak polis mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan menemukan dua kotak besar berwarna coklat di bahagian tempat letak barang belakang kenderaan tersebut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kotak berkenaan mengandungi 100 karton rokok jenama John yang disyaki tidak mempunyai setem cukai Kastam yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia.

Katanya, suspek bekerja sebagai pengusaha kedai runcit di Kangar, Perlis.

"Kita turut merampas sebuah kenderaan Toyota Harrier bersama satu unit kunci alat kawalan jauh bagi tujuan siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Tambah Khalid, semua barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisis lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat tanpa sebarang kompromi," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau sebarang kegiatan jenayah agar menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!