Puripol titip semangat buat Azeem

PELARI pecut Thailand, Puripol Boonson tampil memberi sokongan kepada Muhammad Azeem Mohd Fahmi selepas atlet negara itu terpaksa menamatkan final 100 meter (m) lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam keadaan cedera pada Jumaat.
Puripol meninggalkan pesanan semangat buat Azeem menerusi ruangan komen hantaran terbaharu pelari negara itu di Instagram.
"Bangkit semula dengan lebih kuat sahabat," tulis Puripol yang kemudian menerima balasan daripada Azeem dengan menyifatkan pelari Thailand itu sebagai 'legenda'.
Azeem sebelum itu meluahkan kekecewaan selepas gagal menamatkan musim 2026 seperti yang diharapkan, namun tetap bersyukur kerana berjaya mendapatkan semula rentak lariannya.
"Bukan begini yang saya mahukan untuk menamatkan musim 2026. Terlalu banyak pasang surut sepanjang musim ini, tetapi saya bersyukur akhirnya dapat menemui semula rentak saya.
"Ada yang mengatakan saya tidak akan berjaya, namun masih ada yang percaya kepada saya dan saya masih berdiri di sini, berlari dengan penuh kebanggaan untuk negara," katanya.

Menurut Azeem, perjuangannya bukan sekadar untuk memenuhi harapan negara, sebaliknya turut didorong impian peribadi untuk membawa nama Malaysia ke tahap terbaik yang mampu dicapai.
"Saya bukan sahaja membawa harapan negara, tetapi ini juga impian saya untuk membawa nama negara ke tahap terbaik yang saya mampu.
"Terima kasih kepada semua atas sokongan dan dorongan yang diberikan sehingga hari ini. Tugas saya tidak akan pernah selesai selagi saya belum mencapai sasaran. Jumpa lagi musim depan," katanya.
Dalam saingan final itu, Azeem terpaksa memperlahankan larian selepas mengalami kekejangan otot sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan catatan 14.65 saat (s).
Pelari negara itu tetap meneruskan saingan dalam keadaan terhincut-hincut sehingga melepasi garisan penamat sebelum menerima rawatan daripada pasukan perubatan.
Puripol pula muncul juara dengan catatan 9.90s yang turut menjadi rekod baharu Sukan Asia, manakala Ali Al Balushi dari Oman meraih perak (10.04s) dan Malham Al Balushi gangsa (10.11s).
Azeem sebelum ini memenangi gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi catatan 10.11s.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
