Tuah penjawat awam menang Ducati ditandatangani Tengku Mahkota Kelantan

Firdaus Syafiq bergambar di atas motosikal berkuasa tinggi dimenanginya.
Firdaus Syafiq bergambar di atas motosikal berkuasa tinggi dimenanginya.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang kakitangan sokongan di pejabat tanah tergamam apabila nombor cabutannya terpapar di skrin sebagai pemenang hadiah utama motosikal berkuasa tinggi Ducati Multistrada 1200 yang ditandatangani Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Pemenang itu, Firdaus Syafiq Yusoff, 30, berkata, dia beberapa kali melihat skrin bagi memastikan nombor yang dipaparkan itu benar-benar miliknya sebelum memberitahu rakan semasa hadir pada sambutan Malam Semarak Daulat di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.

“Saya terkejut dan tengok banyak kali di skrin sebab tak percaya. Apabila tahu memang Ducati, memang kelu.

“Tak pernah terlintas nak menang apa-apa cabutan bertuah dan saya sertai konvoi bersama Tengku Mahkota Kelantan ini pun sekadar suka-suka sahaja,” katanya.

Bapa seorang anak itu ditemui pemberita selepas menerima hadiah bonanza terbabit pada program sempena perayaan keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-57 di stadium itu.

Firdaus Syafiq layak menyertai cabutan bertuah berkenaan selepas pembelian baju-T konvoi berharga RM70 yang ditaja pula oleh bosnya, Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab.

Tandatangan Tengku Muhammad Fakhry pada motosikal dimenangi Firdaus Syafiq.
Tandatangan Tengku Muhammad Fakhry pada motosikal dimenangi Firdaus Syafiq.

Firdaus yang bertugas sebagai Pembantu Khidmat H1 di Pejabat Tanah Pasir Puteh berkata, kemenangan itu cukup bermakna kerana dia sendiri belum memiliki motosikal mewah sedemikian meskipun sudah empat tahun menyertai konvoi.

Artikel Berkaitan:

“Saya kena ambil lesen motosikal berkuasa tinggi lepas ini.

“Saya dah maklum kemenangan ini dalam WhatApps kumpulan keluarga tapi belum beritahu jenis motosikal sebab niat nak bagi kejutan pada isteri pula,” katanya.

Firdaus Syafiq memiliki motosikal Yamaha LC dan menyertai konvoi dari Tunjong dengan motosikal berkenaan bersama kira-kira 3,000 peserta dari Wings Motor Gang Society (WMGS) dan kelab motosikal lain.

Konvoi tersebut diketuai Tengku Muhammad Fakhry yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Firdaus Syafiq yang juga bapa kepada seorang anak berusia dua tahun itu turut menganggap kemenangan berkenaan sebagai rezeki buat keluarganya.

“Saya juga dapat ucapan tahniah daripada Tengku Mahkota Kelantan dan hadiah ini adalah rezeki anak serta isteri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!