Bubbles O2, Kinza sepakat teroka pengeluaran minuman di Malaysia

Bubbles O2 dan Kinza memeterai persefahaman awal sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Bubbles O2 dan Kinza memeterai persefahaman awal sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
A
A
A

JENAMA air mineral premium Malaysia, Bubbles O2 dan jenama minuman dari Arab Saudi, Kinza, bersetuju meneroka peluang kerjasama dalam aspek pembuatan dan pengedaran produk Kinza di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2 Sdn Bhd, Abdul Aziz Arifin berkata, kerjasama yang diterokai bukan sekadar berasaskan industri minuman.

Menurutnya, kedua-dua syarikat berkongsi visi yang sama dalam membina jenama berteraskan kualiti produk, kekuatan jenama serta kepercayaan pengguna.

"Apa yang menemukan Bubbles O2 dan Kinza bukan sekadar perniagaan minuman. Kami mendapati kami berkongsi visi yang hampir sama tentang apa yang menjadikan sesebuah jenama benar-benar mampan iaitu kualiti produk, kekuatan jenama dan kepercayaan yang dibina bersama pengguna.

"Kami percaya falsafah yang dikongsi ini memberikan asas yang kukuh untuk meneroka bagaimana kami boleh bekerjasama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua syarikat memeterai persefahaman awal sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pengumuman kerjasama tersebut disaksikan oleh Pengasas Kinza, Bandar Okrin; Pengarah Urusan Kinza, Abderrahman Rouabah dan Pengerusi Eksekutif Bubbles O2 Sdn Bhd, Datuk Arifin Marzuki.

Bubbles O2 dan Kinza bersetuju meneroka peluang kerjasama dalam aspek pembuatan dan pengedaran produk Kinza di Malaysia.
Bubbles O2 dan Kinza bersetuju meneroka peluang kerjasama dalam aspek pembuatan dan pengedaran produk Kinza di Malaysia.

Bubbles O2 membawa kepakaran dalam pengeluaran air mineral semula jadi premium, keupayaan pembuatan yang semakin berkembang di Malaysia serta kedudukan kukuh dalam pasaran domestik.

Artikel Berkaitan:

Kinza pula menyumbang portfolio minuman yang pelbagai serta rangkaian pasaran antarabangsa yang semakin meluas.

Melalui perbincangan tersebut, kedua-dua pihak akan menilai sama ada kemudahan pembuatan dan rangkaian pengedaran Bubbles O2 di Malaysia mampu menyokong pengeluaran tempatan serta ketersediaan produk Kinza untuk pasaran Malaysia.

Sementara itu, Bandar Okrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kinza berkata, pendekatan Kinza dalam memasuki pasaran baharu sentiasa berteraskan kerjasama strategik dengan rakan tempatan.

"Pendekatan Kinza bagi setiap pasaran baharu adalah mengutamakan kerjasama. Matlamat kami bukan sekadar memasuki sebanyak mungkin pasaran, tetapi mencari rakan tempatan yang tepat dan membina perniagaan yang mampan bersama mereka.

"Kami berbesar hati untuk memulakan perbincangan dengan Bubbles O2 mengenai potensi pembuatan dan pengedaran produk Kinza di Malaysia, dan kami menantikan peluang ini untuk dinilai bersama," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!