Kontraktor bantu lotong kelaparan

Azrin Mohd memuat naik status dan video Mohamad Faizal memberi lotong makan di Bukit Melawati di sini
Azrin Mohd memuat naik status dan video Mohamad Faizal memberi lotong makan di Bukit Melawati di sini
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang kontraktor memberi makanan kepada sekumpulan lotong di Bukit Melawati di sini berikutan haiwan itu sukar mendapatkan bekalan kerana kawasan pelancongan tersebut tidak dikunjungi oleh orang ramai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac lalu.

Mohamad Faizal Abu Bakar, 39, berkata, dia bersama rakannya, Saiful Baharin Kasnon, 48, tergerak hati untuk membantu kumpulan haiwan tersebut selepas memandu kereta ke Bukit Melawati dan menyedari lokasi tumpuan pengunjung terutama pada cuti hujung minggu itu kini lengang akibat penguatkuasaan PKP.

"Sebaik sahaja sampai di puncak bukit, kelihatan banyak kumpulan lotong kelaparan. Hati saya begitu tersentuh apabila lotong tersebut memanjat bahu seolah-olah meminta makanan.

"Saya kemudian memberi roti untuk haiwan itu. Setakat ini, sudah tiga kali saya singgah ke Bukit Melawati untuk memberi makan kepada lotong di sini," katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Faizal yang menetap di Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang berkata, setiap kali ke Kuala Selangor dia bersama rakannya itu pasti singgah ke Bukit Melawati dan akan membelanjakan kira-kira RM100 bagi membeli makanan untuk semua lotong itu.

"Sekurang-kurangnya saya membeli sebanyak 20 buku roti untuk diberi kepada ratusan lotong di sini. Saya difahamkan sepanjang musim PKP, lotong ini berkeliaran hingga ke rumah penduduk berhampiran untuk mencari makanan," katanya.

Usaha Mohamad Faizal itu kemudian tular berikutan video ketika dia memberi makan roti kepada lotong di Bukit Melawati itu dimuat naik di media sosial.

Video dan status dimuat naik pemilik akaun Facebook 'Azrin Mohd' itu mendapat pelbagai tanda reaksi dan komen serta menerima kira-kira 8, 000 jumlah tontonan daripada pengendali Facebook lain.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Lotong Bukit Melawati ganggu penduduk sejak PKP

Pada 30 Mac lalu Sinar Harian melaporkan, kira-kira lebih 300 penduduk di Taman Bendahara termasuk beberapa taman berhampiran tertekan akibat gangguan sekumpulan lotong yang mencari makanan.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan lotong yang selama ini menjadi tarikan pengunjung di Bukit Melawati itu dipercayai menceroboh kediaman penduduk kerana kelaparan selepas tidak lagi mendapat makanan daripada pengunjung yang singgah di Bukit Melawati berikutan pelaksanaan PKP.