Pihak kedutaan asing perlu jaga kebajikan rakyat terkandas di Malaysia

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Pihak kedutaan asing diminta agar menjaga kebajikan rakyat masing-masing yang terkandas di Malaysia berikutan terdapat negara yang melaksanakan perintah berkurung atau 'lockdown' ketika ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, adalah menjadi tanggungjawab negara terbabit untuk menjaga rakyat mereka sepanjang tempoh berada di negara ini.

“Mesyuarat hari ini telah memutuskan bahawa Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) akan berbincang dengan kedutaan negara yang terlibat bagi urusan penghantaran pulang.

“Bagi negara yang melaksanakan perintah 'lockdown' dan tidak membenarkan rakyat mereka keluar masuk, kerajaan berharap pihak kedutaan yang terlibat akan menjaga kebajikan rakyat mereka sepanjang tempoh berada dinegara ini.

“Kerajaan juga mengalu-alukan usaha negara yang berkenaan untuk membawa pulang rakyat mereka yang terkandas di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa warganegara asing yang tiada dokumen dan ditahan kerana ingkar PKP akan dihantar ke Depot Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Bagi warganegara asing yang mempunyai dokumen perjalanan sah atau permit akan dikenakan tindakan sama seperti warganegara Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan: