Empat wanita antara lapan individu dicekup main judi

Omar Bakhtiar bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian, Asisten Superintendan Tan Bak Hua pada sidang media hari ini.
Omar Bakhtiar bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian, Asisten Superintendan Tan Bak Hua pada sidang media hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Kampung Telok di sini semalam, ketika lapan individu termasuk empat wanita sedang leka bermain judi dengan mengabaikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika serbuan itu, mereka yang berusia 39 hingga 66 tahun tersebut sedang leka bermain judi jenis pakau di bahagian dapur rumah.

"Sebaik sampai, pintu dibuka oleh seorang lelaki dipercayai tuan rumah. Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati terdapat tujuh lagi individu sedang duduk mengelilingi sebuah meja bulat disyaki sedang bermain judi.

"Kesemua suspek memahami perintah PKP yang dikenakan kerajaan, namun tetap berkumpul untuk bermain judi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini, hari ini.

Omar Bakhtiar menerima sumbangan 2,200 topeng muka untuk kegunaan petugas keselamatan daripada Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.
Omar Bakhtiar menerima sumbangan 2,200 topeng muka untuk kegunaan petugas keselamatan daripada Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Menurut Omar Bakhtiar, dalam serbuan itu polis merampas 52 keping kad daun pakau, wang tunai pelbagai dominasi berjumlah RM119, sebuah meja kayu bulat dan enam kerusi plastik warna merah.

"Kesemua suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan juga disiasat di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana cuai dan mungkin merebakkan jangkitan sebarang penyakit," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 127 individu di sekitar daerah ini telah ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar PKP bermula 18 Mac lalu hingga semalam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah itu, 63 orang telah dituduh di mahkamah, 50 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala tujuh orang telah menjalani hukuman penjara.

"Ada antara yang ditahan didapati mengulangi perbuatan sama hingga dikenakan kompaun sebanyak tiga kali.

"Mereka mengandaikan, sekiranya telah dikenakan kompaun, boleh bebas bergerak, tetapi sebenarnya ia tetap satu kesalahan dan akan dikenakan tindakan sama," katanya.