'Selamatkan Thailand' - Rakyat protes di Kedutaan Israel

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Thailand ketika menyertai demonstrasi di Bangkok.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Thailand ketika menyertai demonstrasi di Bangkok.
A
A
A

BANGKOK - Ratusan rakyat Thailand berhimpun di luar Kedutaan Israel di Bangkok pada Khamis dalam satu demonstrasi yang jarang berlaku terhadap warga asing, susulan peningkatan ketegangan membabitkan komuniti Israel di negara itu.

Protes tersebut diketuai aktivis politik veteran, Sondhi Limthongkul dengan peserta membawa bendera Thailand serta sepanduk antaranya bertulis 'Selamatkan Thailand' dan 'Thailand Bukan Untuk Dijual'.

Demonstrasi itu menyusul selepas berbulan-bulan timbul aduan mengenai dakwaan pemilikan tanah secara tidak sah oleh warga asing, sikap tidak menghormati budaya tempatan dan pertambahan pusat keagamaan untuk warga Israel.

Pertikaian antara penduduk tempatan dan warga Israel turut dilaporkan berlaku terutama di Koh Phangan, Koh Samui serta Pai, termasuk isu dakwaan kegagalan membuat pembayaran dan salah laku di tempat awam.

Sondhi berkata, Thailand mempunyai tradisi panjang mengalu-alukan pelancong asing, namun menegaskan layanan baik itu tidak seharusnya disalah anggap.

Sondhi Limthongkul mengetuai demonstrasi berkenaan.
Sondhi Limthongkul mengetuai demonstrasi berkenaan.

Beliau turut mendakwa terdapat warga Israel yang melanggar undang-undang tempatan, mengganggu ketenteraman awam serta tidak menghormati tradisi dan budaya Thailand.

Sondhi kemudian menyerahkan surat kepada Kedutaan Israel dan menggesa kerajaan Thailand mengambil tindakan konkrit terhadap perniagaan asing yang didakwa beroperasi secara tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Israel nafi mahu 'jajah'

Duta Israel ke Thailand, Alona Fisher-Kamm bagaimanapun menolak dakwaan bahawa warga Israel cuba 'menjajah' atau mengambil alih wilayah Thailand.

Beliau mengakui terdapat sebilangan kecil pelancong Israel yang berkelakuan tidak wajar, namun menegaskan majoriti mereka mematuhi peraturan dan diterima baik oleh masyarakat tempatan.

Menurutnya, pelancong Israel turut diberikan penerangan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berada di Thailand.

Kedutaan Israel juga tidak akan melindungi mana-mana rakyatnya yang didapati melanggar undang-undang negara itu.

Penunjuk perasaan mengangkat sepanduk ketika menyertai demonstrasi membantah dakwaan pengambilan tanah oleh warga asing di hadapan Kedutaan Israel di Bangkok pada Khamis. - FOTO: The Thaiger
Penunjuk perasaan mengangkat sepanduk ketika menyertai demonstrasi membantah dakwaan pengambilan tanah oleh warga asing di hadapan Kedutaan Israel di Bangkok pada Khamis. - FOTO: The Thaiger

Fisher-Kamm turut menolak tanggapan bahawa penggunaan penama warga tempatan untuk mendapatkan kepentingan dalam pemilikan tanah merupakan fenomena khusus membabitkan warga Israel.

Ketegangan itu turut mendapat perhatian kerajaan Thailand apabila Menteri Luar, Sihasak Phuangketkeow mengadakan pertemuan dengan Fisher-Kamm pada Selasa.

Sihasak mengingatkan bahawa hubungan kedua-dua negara boleh terjejas sekiranya lebih banyak insiden tercetus, selain menggesa pelawat menghormati budaya dan tradisi Thailand.

Pada masa sama, beliau meminta masyarakat tidak menyalahkan keseluruhan warga Israel atas tindakan segelintir individu.

Menurut Biro Imigresen Thailand, kira-kira 31,000 warga Israel berada di negara itu setakat Mac, manakala 420,202 pelancong Israel berkunjung ke Thailand sepanjang tahun lalu. - Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!