'Jika mahu mati, pulanglah ke negara sendiri' - PM Thailand ingatkan warga asing buat onar

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengeluarkan amaran keras kepada warga asing yang melanggar undang-undang negara itu dengan meminta mereka yang mahu 'meninggal dunia supaya pulang ke negara asal'.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menyentuh isu permohonan mewujudkan tanah perkuburan persendirian serta rumah ibadat tanpa kelulusan sewajarnya.
“Anda tidak boleh sewenang-wenangnya mendirikan rumah ibadat sendiri. Apa juga bentuknya, ia perlu menghormati masyarakat dan budaya Thailand.
“Saya baru-baru ini dimaklumkan terdapat permohonan untuk membina tanah perkuburan persendirian. Ini sudah melampaui batas,” katanya ketika berucap di Kementerian Dalam Negeri pada Khamis.
Anutin kemudian mengeluarkan kenyataan lebih keras dengan menegaskan warga asing yang berada di Thailand perlu mencari rezeki secara jujur dan tidak mengambil kesempatan terhadap rakyat tempatan.
“Jika mahu mati, pulanglah dan mati di negara sendiri. Tidak perlu mati di sini. Jangan datang ke sini untuk mengambil kesempatan terhadap kami,” katanya.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan terhadap sebuah tanah perkuburan Yahudi di daerah Bang Khla, wilayah Chachoengsao.
Pemeriksaan pihak berkuasa sebelum ini mendapati empat mayat dikebumikan di kawasan berkenaan, masing-masing tiga warga Israel dan seorang warga Britain. Dua daripada individu terbabit juga didapati tinggal di Thailand melebihi tempoh visa.
Menurut laporan media, lesen tanah perkuburan berkenaan tamat pada 2023 dan tidak diperbaharui, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai pengebumian yang dilakukan selepas tempoh tersebut.
Empat kubur berkenaan kemudiannya dipindahkan pada 15 September ke kawasan perkuburan baharu yang mempunyai kebenaran.
Bagaimanapun, Anutin menegaskan kenyataannya tidak ditujukan secara khusus kepada rakyat Israel atau mana-mana satu kewarganegaraan.
Sebaliknya, beliau berkata isu melibatkan warga asing merangkumi individu dari beberapa rantau termasuk Asia, Asia Barat, Asia Tengah, Eropah dan Afrika.
Anutin turut mengarahkan gabenor wilayah supaya memperketat penguatkuasaan undang-undang terhadap warga asing yang melakukan kesalahan, termasuk mengambil tindakan pengusiran sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan.
Pada masa sama, beliau menegaskan Thailand kekal terbuka kepada pelancong dan pelabur asing yang mematuhi undang-undang, menghormati budaya tempatan serta tidak mengambil kesempatan terhadap rakyat negara itu. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

