Thailand enggan beri muka, lancar protes anti-Israel

BANGKOK - Kira-kira 200 penunjuk perasaan berhimpun di luar Kedutaan Israel di ibu kota Thailand pada Khamis bagi menyerahkan surat terbuka.
Himpunan itu diketuai aktivis veteran, Sondhi Limthongkul yang mendakwa terdapat beberapa perkara membimbangkan termasuk kehadiran pelancong Israel, pembelian tanah, operasi pusat Chabad (organisasi Yahudi) dan dakwaan pelanggaran undang-undang secara terang-terangan.
Sondhi berkata, demonstrasi itu bertujuan mempertahankan kepentingan dan kedaulatan Thailand di samping memberi amaran bahawa bantahan boleh diperhebatkan sekiranya perkara itu tidak ditangani.
Menerusi surat yang cuba diserahkan kepada Duta Israel, Alona Fisher-Kamm, Sondhi menggesa rejim Tel Aviv memantau tingkah laku warganya di Bangkok, bekerjasama dalam siasatan berkaitan pusat Chabad dan pemilikan tanah selain menghentikan keganasan ketenteraan terhadap orang awam di Gaza.
Himpunan itu turut disertai kumpulan nasionalis yang membantah penguasaan asing terhadap tanah negara, sejumlah warga asing yang menentang tindakan ketenteraan Israel di Gaza dan aktivis pemuliharaan marin, Siranudh 'Psi' Scott yang membawa plakad tertera 'Hentikan peluasan Zionis di Thailand'.
Demonstrasi itu merupakan aktiviti bantahan besar pertama di bawah kempen baharu Sondhi, 'Kembalikan Thailand kepada rakyatnya' yang dilancarkan pada awal minggu lalu.
Beliau menegaskan kempen tersebut bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan semasa sebaliknya mendesak pemimpin supaya mengambil langkah lebih tegas untuk melindungi kedaulatan serta kepentingan rakyat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

