Lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan, dipercayai dibunuh

ALOR SETAR – Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai dibunuh dengan beberapa kesan kecederaan pada tubuhnya di bawah sebuah pondok di Taman Rekreasi Persisiran Sungai Raja di sini, pada Rabu.
Mangsa yang berusia 50-an ditemukan dalam keadaan terbaring di lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada jam 9.50 pagi berhubung penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sepasukan polis kemudian dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa ditemukan terbaring di bawah sebuah pondok dalam kawasan taman rekreasi tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.
“Mangsa dipercayai baru meninggal dunia berdasarkan kesan darah yang masih baharu ketika ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Syed Basri berkata, mangsa yang dipercayai seorang gelandangan ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dengan memakai baju lengan panjang dan seluar slack berwarna kelabu.
Menurutnya, pemeriksaan awal turut menemukan beberapa kecederaan pada tubuh mangsa termasuk luka di bahagian bawah dagu, lebam pada kepala sebelah kiri, pendarahan pada telinga kiri serta lebam pada kedua-dua belah mata.
“Terdapat juga kesan luka pada bahagian leher dan luka kecil di sebelah kanan dagu,” katanya.
Beliau berkata, polis turut menemukan dua batang kayu yang patah berhampiran mangsa selain serpihan kayu di atas bangku dalam pondok berkenaan.
Bagaimanapun, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kesan pergelutan atau kesan seretan di lokasi kejadian.
“Saksi yang merupakan pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memaklumkan melihat mangsa dalam keadaan terbaring dan terdapat kesan darah ketika menjalankan tugas di kawasan itu kira-kira jam 9.20 pagi.
“Saksi kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada penyelia sebelum menghubungi pihak polis,” katanya.
Tambah beliau, saksi turut mengenali mangsa sebagai seorang gelandangan yang dipercayai berada di kawasan rekreasi tersebut sejak awal tahun ini.
Menurut Syed Basri, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

