Bekas COO TH didakwa terima kos ubah suai tiga rumah lebih RM302,000

Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani didakwa atas tiga pertuduhan menerima kos pengubahsuaian tiga rumah lebih RM302,000, sembilan tahun lalu.
Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani didakwa atas tiga pertuduhan menerima kos pengubahsuaian tiga rumah lebih RM302,000, sembilan tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tiga pertuduhan menerima kos pengubahsuaian tiga rumah lebih RM302,000, sembilan tahun lalu.

Adi Azuan, 56, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut tiga pertuduhan, ahli korporat yang memakai kot berwarna kelabu itu, didakwa ketika menjawat jawatan berkenaan, menerima benda berharga berupa kos pengubahsuaian tiga rumah di Seksyen 13 di sini, Kota Damansara dan Subang Jaya, masing-masing bernilai RM235,866.58, RM50,698.74 dan RM15,933.95.

Semua kos itu didakwa diterima daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail yang diketahui mempunyai kena-mengena dalam urusan yang dijalankan tertuduh di lokasi sama, pada 7 Mac 2017.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin memberitahu, kes berkenaan termasuk dalam pertuduhan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin.

"Pihak pendakwaan menyerahkan budi bicara mahkamah sekiranya mahu mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh," katanya.

Sementara itu, peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili bapa kepada empat anak lelaki berkenaan, merayu kadar ikat jamin dikurangkan dengan alasan, anak guam telah bersara tahun lalu dan mempunyai masalah jantung.

Artikel Berkaitan:

"Dia juga perlu menyara dua anak tertuduh berusia 25 dan 20 tahun yang masih menuntut di universiti manakala dua lagi masih bersekolah.

"Saya merayu, pasport anak guam tidak diserahkan kepada mahkamah sebagai salah satu syarat tambahan kerana dia akan bertolak ke tanah suci untuk mengerjakan umrah," katanya yang hadir bersama peguam, Datuk Tania Scivetti dan Effa Azuin Aidrul Hisham.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Awang Kerisnada membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur.

Bekiau berkata, tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya sekali bagi setiap tiga bulan.

"Pasport perlu diserahkan kepada mahkamah namun, sekiranya tertuduh memerlukan dokumen perjalanan untuk ke luar negara, termasuk bagi menunaikan umrah, permohonan boleh dibuat kepada mahkamah untuk mendapatkannya kembali.

"Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes ini berlangsung," katanya kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 25 November depan.

Adi Azuan sepatutnya dituduh pada 3 September lalu, namun tertangguh selepas tertuduh dimasukkan ke hospital akibat komplikasi jantung.

Dia merupakan antara beberapa pegawai kanan TH yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) susulan dapatan mengenai tindakan tatatertib terhadap mereka berhubung beberapa kes salah laku serius yang kemudiannya diringankan selepas rayuan.

Menurut laporan RCI, tindakan tatatertib berkenaan melibatkan empat isu utama iaitu penjualan saham PT TH Indo Plantations, sumbangan RM22.12 juta kepada Yayasan Tabung Haji tanpa kelulusan menteri, pengisytiharan agihan keuntungan hibah 2017 serta tuntutan palsu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!