Pemandu lori direman bantu siasatan kes cederakan isteri

 Suspek ditahan selepas isterinya berusia 49 tahun membuat laporan polis. Foto hiasan
Suspek ditahan selepas isterinya berusia 49 tahun membuat laporan polis. Foto hiasan
A
A
A

KANGAR - Seorang pemandu lori berumur 56 tahun direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mencederakan isterinya pada 15 September lepas.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek ditahan selepas isterinya berusia 49 tahun membuat laporan polis, semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian pada 9.30 malam itu, suspek dipercayai menampar dan menghantukkan kepala wanita berkenaan sebelum menolaknya ke sofa serta cuba mencekiknya di sebuah rumah di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat, dekat sini.

"Suri rumah itu mengalami kesan lebam pada bahagian perut dan perselisihan faham dipercayai berlaku selepas wanita itu menegur suaminya supaya tidak keluar rumah pada waktu malam kerana mengesyakinya ingin berjumpa dengan wanita lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yusharifuddin berkata, wanita itu mendakwa pergaduhan berlaku sejak dua tahun lepas setelah membaca perbualan suaminya dengan wanita tidak dikenali menerusi Facebook.

"Sejak itu, isterinya kerap bertanya mengenai perkara berkenaan, namun dinafikan suaminya yang dipercayai akan menamparnya ketika marah selain pernah memukulnya sehingga pengsan,” katanya.

Beliau berkata wanita itu masih menerima rawatan dan pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), manakala kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!