Surat Armizan kepada KPKM buka jalan 90 tukun tiruan dilabuhkan 

Tukun tiruan dilabuhkan di perairan Papar
Tukun tiruan dilabuhkan di perairan Papar
A
A
A

PAPAR - Permohonan peruntukan yang dikemukakan menerusi surat kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) membuka jalan kepada pelaksanaan projek melabuhkan 90 unit tukun tiruan di sepanjang perairan Papar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, surat itu dikemukakan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memohon pertimbangan peruntukan untuk melaksanakan projek berkenaan.

"Saya telah menulis surat bertarikh 21 Januari 2026 kepada Menteri KPKM untuk mempertimbangkan permohonan peruntukan bagi melaksanakan projek ini.

“Pelaksanaan projek ini amat bermakna kerana merupakan antara perkara yang pernah saya kemukakan dan susuli bersama KPKM, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, projek menerusi Program Melabuh Modul Ladang Ikan di Laut (LIDL) itu lebih dikenali dalam kalangan masyarakat dan komuniti nelayan sebagai tukun tiruan atau unjam-unjam.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi untuk memperkaya sumber perikanan, selain membantu meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan komuniti nelayan di Papar.

"Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Sabah, projek tukun tiruan terakhir di kawasan perairan Papar dilaksanakan pada tahun 2010, melibatkan 18 unit tukun dan komuniti nelayan di lima buah kampung.

"Setelah lebih 15 tahun, terdapat kemungkinan besar tukun tersebut telah tenggelam atau tertimbus dan tidak lagi berfungsi secara optimum," katanya.

Armizan berkata, keadaan tukun lama berkenaan turut dibangkitkannya dalam surat permohonan bagi membolehkan projek tukun baharu dilaksanakan di perairan daerah itu.

Artikel Berkaitan:

Hasil daripada usaha berkenaan, sebanyak 90 unit tukun tiruan kini dilabuhkan di sepanjang perairan Papar berhampiran kawasan pesisir beberapa kampung.

"Antara lokasi berkenaan ialah Kampung Kuala, Kampung Pengalat Besar dan Kampung Beringgis, manakala kemudahan ini boleh dimanfaatkan oleh komuniti nelayan dari kampung-kampung sekitar.

"Pelbagai jenis tukun tiruan disediakan mengikut kesesuaian sumber marin, merangkumi tukun ikan, sotong dan udang kara," katanya.

Menurutnya, selain menyediakan habitat dan kawasan pembiakan hidupan laut, inisiatif tersebut diharapkan dapat mewujudkan kawasan tangkapan yang lebih produktif untuk manfaat nelayan setempat.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada LKIM kerana memberikan perhatian dan merealisasikan usaha berkenaan di perairan Papar.

"Semoga manfaatnya dapat dirasai oleh komuniti nelayan setempat serta menyumbang kepada kelestarian khazanah laut kita untuk jangka panjang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!