[VIDEO] Perjumpaan MB, Exco Negeri Sembilan dengan Tunku Nadzaruddin dibatalkan
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Majlis pertemuan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bersama Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar di Galeri Diraja Tuanku Ja'afar di sini pada Rabu, terpaksa dibatalkan.
Menurut sumber, pembatalan majlis berkenaan adalah atas arahan pihak berkuasa atas faktor keselamatan.
Perjumpaan bagi sesi suai kenal dan silaturahim itu dijadualkan bermula jam 9 pagi, namun sehingga jam 10 pagi, majlis berkenaan masih belum bermula.
Media kemudiannya bergegas ke Hotel Royal Bintang yang terletak tidak jauh dari Galeri Diraja Tuanku Ja'afar, selepas dimaklumkan bahawa Menteri Besar dan Exco berada di sana.

Difahamkan, mereka berkumpul di hotel tersebut untuk mengadakan perjumpaan sebelum bergerak ke Galeri Diraja Tuanku Ja'afar.
Bagaimanapun, sebaik tiba di hotel terbabit, media tidak dibenarkan menghampiri lokasi perjumpaan sebelum dimaklumkan bahawa Ismail telah beredar kira-kira setengah jam kemudian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad yang ditemui pemberita hanya tersenyum ketika ditanya mengenai apa yang berlaku sebelum meninggalkan hotel berkenaan.
Terdahulu, di Galeri Diraja Tuanku Ja'afar, kelihatan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Dr Awaludin Said serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tiba di lokasi berkenaan.
Turut kelihatan tiba ialah Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, namun beliau beredar tidak lama kemudian.
Difahamkan ketika ini kesemua Undang Yang Empat termasuk yang dipertikai dengan Tunku Nadzaruddin berada di Balai Kediaman Undang Luak Sungei Ujong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

