Lelaki bunuh isteri, tiga anak guna kapak

MADHYA PRADESH - Seorang lelaki didakwa membunuh isteri dan tiga anaknya menggunakan kapak selepas berlaku pertengkaran di rumah mereka di Kampung Kabirpur, daerah Damoh, Madhya Pradesh, India pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira awal pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai Khema Patel, 27, bersama anak perempuannya, Urmila, 7, dan dua anak lelakinya masing-masing berusia lima dan setahun.
Menurut polis, pertengkaran antara lelaki berusia 30 tahun itu dengan isterinya dipercayai telah berlaku sejak lebih setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Damoh, Anand Kaladgi berkata, Khema sebelum ini pernah membuat aduan berkaitan isu mas kahwin di balai polis Magron kira-kira enam bulan lalu.
“Ahli keluarga cuba mendamaikan pasangan itu selepas aduan berkenaan dibuat.
“Pada Jumaat, berlaku lagi pertengkaran antara pasangan berkenaan. Saudara mara cuba campur tangan sebelum beredar selepas keadaan dilihat kembali reda,” katanya.
Menurut beliau, lelaki terbabit dipercayai menyerang isteri dan tiga anaknya ketika mereka sedang tidur pada awal pagi Sabtu.
“Pada kira-kira jam 6.30 pagi, kami menerima maklumat bahawa seorang lelaki sedang duduk di luar rumah sambil memegang kapak dan mendakwa telah membunuh ahli keluarganya.
“Pasukan polis kemudian bergegas ke lokasi dan menahannya,” katanya.
Lelaki terbabit, Dwarka Patel, tidak melarikan diri selepas kejadian, sebaliknya dikatakan menunggu di luar rumah sambil memegang kapak sebelum ditahan polis.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan keseluruhan kejadian termasuk meneliti aduan terdahulu serta keterangan ahli keluarga dan saksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

