Brighton bikin Arsenal gigit jari

ARSENAL menerima tamparan hebat pada awal musim Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tewas mengejut 0-3 kepada Brighton & Hove Albion di Amex, sekali gus menamatkan rekod sempurna mereka dalam semua pertandingan.
The Gunners sebelum ini memenangi kesemua tujuh perlawanan musim ini, namun Brighton tampil lebih agresif untuk menghukum kelemahan skuad kendalian Mikel Arteta dalam aksi berkenaan.
Pascal Gross memecah kebuntuan pada minit ke-31 menerusi rembatan yang terkena bahagian dalam tiang sebelum Charalampos Kostoulas menggandakan kelebihan tuan rumah pada penghujung babak pertama.
Arsenal gagal bangkit selepas rehat apabila Brighton terus menguasai momentum, dengan Chema Andres menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-60 selepas menanduk masuk hantaran sepakan sudut Gross.
Kemenangan itu meneruskan momentum positif Brighton selepas mereka mencipta kejutan di Old Trafford pada pertengahan minggu dengan bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Manchester United 3-2 dalam aksi Piala Liga.
Bagi Arsenal, kekalahan itu menyaksikan mereka tewas buat kali ketiga berturut-turut di Amex dalam saingan EPL, selepas Liverpool dan Manchester City turut gagal membawa pulang kemenangan dari gelanggang berkenaan dalam dua musim sebelumnya.
Ia juga kekalahan terbesar Arsenal dalam semua pertandingan sejak April 2023, sekali gus menjejaskan permulaan cemerlang mereka musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
