Tamparan hebat kepada musuh Iran

KEUPAYAAN menghadapi kempen tekanan berterusan AS dan Israel membuktikan ketahanan serta kekuatan strategik Iran. Namun dari sudut ketenteraan, Iran menerima kesan paling teruk.
Sebahagian besar sistem pertahanan udara, stok peluru berpandu, pemimpin tertinggi tentera serta beberapa tapak nuklear utama telah mengalami kemusnahan ketara.
Bagaimanapun, perkembangan selepas perang memperlihatkan gambaran yang lebih kompleks apabila MoU 14 perkara yang didedahkan kedua-dua pihak membuka ruang kepada pelonggaran sekatan, pelepasan aset beku dan pelan pembangunan semula bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion.
Bagi Iran, keupayaan untuk bertahan daripada serangan gabungan AS dan Israel dilihat sebagai satu bentuk kemenangan besar buat mereka yang berdepan siri sekatan selama hampir lima dekad.
Timbalan Menteri Luar, Kazem Gharibabadi menyatakan bahawa Teheran telah 'mencapai kemenangan besar dalam perang' dan perjanjian itu dicapai hasil 'kejayaan ketenteraan', bukan semata-mata diplomasi.
Walaupun terdapat perpecahan dalaman, Iran dilaporkan kini menerima pendekatan baharu daripada negara jiran yang mahu meredakan ketegangan dan membina semula hubungan, satu petunjuk kepada arah momentum semasa.
Teheran juga telah mengubah Selat Hormuz daripada sekadar titik tekanan teori kepada alat 'leverage' sebenar. Walaupun ia tidak ditutup sepenuhnya, gangguan yang berlaku membuktikan keupayaan Iran untuk mengawal laluan tersebut secara 'luar biasa'.
Kini, Washington secara efektif terpaksa merayu untuk memastikan 'pembukaan semula' laluan maritim strategik itu yang telah menggoncang sistem dunia.
Pentadbiran Presiden Donald Trump memulakan konflik itu dengan objektif mahu mengubah pemerintahan teokratik di Teheran. Namun, pelan itu gagal, lalu keutamaan bertukar kepada menamatkan perang.
Iran pula tidak melihat kemungkinan serangan ketenteraan AS akan berlaku dalam masa terdekat, khususnya dengan pilihan raya pertengahan penggal yang semakin hampir di negara Uncle Sam tersebut.
Situasi itu menjadikan rundingan akan datang dijangka berlangsung tanpa tekanan ketenteraan.
Pendekatan Trump banyak menonjolkan bahawa perjanjian ini lebih baik daripada perjanjian era pendahulunya, Barack Obama yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).
Namun dari segi isu peluru berpandu, kumpulan proksi dan tingkah laku rejim, perjanjian baharu ini dilihat hampir sama secara struktur dengan perjanjian 2015 tersebut, cuma berlaku selepas satu perang.
Israel tersisih
Sementara Israel pula berdepan kekalahan memalukan walaupun perkembangan konflik itu sebenarnya sudah boleh dijangka.
Trump dan sekutu kuatnya, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada awalnya mempunyai matlamat yang seiring, namun Washington akhirnya memilih menamatkan perang sedangkan Tel Aviv mahu meneruskan tekanan ketenteraan.
Risiko lebih besar bagi Israel ialah Trump melihat perjanjian itu sebagai pencapaian utama pentadbirannya dan langkah ke arah hubungan baharu AS–Iran. Sebarang tindakan yang menggugat perjanjian berkenaan boleh mencetuskan ketegangan bukan sahaja dengan Iran, malah Rumah Putih.
Walaupun masing-masing mendakwa kemenangan, tiada pihak yang benar-benar menang secara mutlak. Teheran bertahan tetapi gagal mengusir Washington dari rantau itu, manakala Israel tidak mencapai objektif strategiknya yang lebih luas.
Konflik ini juga berpotensi melemahkan momentum Perjanjian Abraham yang bertujuan menormalkan hubungan diplomatik antara negara Arab dan Islam dengan rejim Tel Aviv.
Iran menekankan ketahanan, AS mendakwa perang telah dihentikan, manakala Israel menyorot had keupayaan Teheran.
Ujian sebenar kini ialah sama ada rundingan susulan mampu menghasilkan penyelesaian berkekalan atau sekadar menangguhkan pusingan konflik seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

