'Kemalangan ubah hidup kami'

Kamal Ridzuan bersama keluarganya yang kini hanya bergantung kepada pendapatan penjual burger yang diusahakan isterinya, Nurma Lissa.
Kamal Ridzuan bersama keluarganya yang kini hanya bergantung kepada pendapatan penjual burger yang diusahakan isterinya, Nurma Lissa.
A
A
A

KUANTAN – Tulang kaki kanan hancur dan memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk pulih mengubah kehidupan sebuah keluarga dalam sekelip mata.

Itulah penderitaan dilalui pemandu lori, Kamal Ridzuan Mamat, 39, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Balok pada awal tahun lalu.

“Hati mana tak sedih apabila keadaan jadi begini. Perbelanjaan keluarga semuanya terganggu.

“Bukan tidak mahu bekerja, tapi saya memang tiada kudrat sekarang ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Balok Makmur di sini pada Isnin.

Nurma Lissa (kanan) membantu suaminya, Kamal Ridzuan melaraskan besi sokongan pada kaki kanannya yang mengalami kecederaan parah.
Nurma Lissa (kanan) membantu suaminya, Kamal Ridzuan melaraskan besi sokongan pada kaki kanannya yang mengalami kecederaan parah.

Mengimbas kembali kejadian itu, Kamal Ridzuan berkata, motosikal ditungganginya merempuh pengadang jalan ketika cuba mengelak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang muncul secara tiba-tiba.

“Akibat kemalangan, saya dimasukkan ke wad selama lebih dua bulan. Doktor memaklumkan kira- kira tujuh inci tulang kaki yang hancur terpaksa dibuang.

“Sehingga kini, saya masih perlu ulang-alik ke hospital seminggu sekali untuk mendapatkan rawatan dan pembedahan susulan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamal Ridzuan berkata, keadaan kewangan keluarga semakin terjejas apabila bayaran bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tertangguh selama dua bulan sejak Ogos lalu.

Menurutnya, prosedur Perkeso memerlukan laporan perubatan setiap enam bulan, namun proses penyediaannya yang mengambil lebih sebulan menyebabkan bayaran tertangguh.

“Disebabkan kelewatan ini, sewa rumah dan kereta sudah dua bulan tidak mampu dibayar. Saya buntu, mana nak cari duit,” luahnya.

Selain itu, dia turut membuat permohonan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang namun ditolak kerana tidak dikategorikan sebagai asnaf.

Bagaimanapun, Kamal Ridzuan memaklumkan dia sudah menerima kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan sedang membuat susulan bagi permohonan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, isterinya, Nurma Lissa Ruzalani, 35, berkata, perniagaan burger yang diusahakannya kini menjadi sumber pendapatan keluarga.

Nurma Lissa berhati-hati memapah suaminya, Kamal Ridzuan yang terpaksa bertongkat untuk bergerak selepas hilang kudrat akibat kemalangan.
Nurma Lissa berhati-hati memapah suaminya, Kamal Ridzuan yang terpaksa bertongkat untuk bergerak selepas hilang kudrat akibat kemalangan.

“Hasil jualan tidak menentu dan wang itulah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian.

“Tetapi yang paling mendesak sekarang ialah komitmen bulanan keluarga,” katanya hiba.

Nurma Lissa mengakui tidak pernah membayangkan situasi itu berlaku, namun reda dan berusaha meneruskan kehidupan demi keluarga serta tiga anaknya.

“Ini ujian dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Memang penat memikul beban ini, tetapi saya anggap ia pengorbanan untuk keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156094282680 atas nama Nurma Lissa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!