Teladani Nabi bina masyarakat majmuk

JAIPk senaraikan 4 pedoman penting untuk harmonikan semua kaum

MALAYSIA yang mempunyai masyarakat majmuk boleh mengambil panduan yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda memimpin kota Madinah.
MALAYSIA yang mempunyai masyarakat majmuk boleh mengambil panduan yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda memimpin kota Madinah.
A
A
A

SEJARAH kota Madinah selepas hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar kisah kejayaan membina sebuah negara, malah merupakan contoh bagaimana sebuah masyarakat yang berbeza latar belakang, agama dan bangsa, berjaya disatukan berpaksikan nilai persaudaraan, keadilan, saling menghormati dan tanggungjawab bersama.

“Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda berhadapan dengan sebuah masyarakat yang sangat majmuk.

“Di sana terdapat kaum Aus dan Khazraj yang sering berperang, golongan Muhajirin dan Ansar, masyarakat Yahudi serta pelbagai kelompok dan kabilah yang mempunyai latar belakang serta kepentingan yang berbeza,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut JAIPk, Rasulullah SAW tidak membiarkan perbezaan tersebut sebagai alasan untuk terus berselisih faham hingga bermusuh.

“Baginda mengurus dengan kebijaksanaan melalui keadilan, perjanjian, tanggungjawab bersama dan penghormatan terhadap hak setiap kelompok.

“Nabi mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar serta membentuk kerangka kehidupan bersama melalui Piagam Madinah.

“Perbezaan tidak dihapuskan, tetapi diuruskan dengan adil dan bijak, kepelbagaian tidak dijadikan punca perpecahan, sebaliknya dimanfaatkan untuk membina masyarakat yang aman dan tersusun,” jelasnya.

KEMAJUAN negara tidak akan dapat dicapai sekiranya rakyat tidak bersatu hati.
KEMAJUAN negara tidak akan dapat dicapai sekiranya rakyat tidak bersatu hati.

Artikel Berkaitan:

Begitu indahnya masyarakat yang dibina Rasulullah SAW melalui persaudaraan, bersedia membantu antara satu sama lain.

Ujar khatib, nilai persaudaraan seperti inilah yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian pada hari ini.

“Buang segala sifat dengki, gugurkan rasa berdendam sesama manusia dan hidup dalam semangat saling kasih serta saling membantu,” pesannya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada diri sendiri.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Menurut JAIPk, daripada sirah Rasulullah SAW, terdapat empat pedoman penting yang perlu kita amalkan dalam usaha membina masyarakat majmuk yang harmoni:

1 - Tegakkan keadilan kepada semua

Keadilan merupakan asas kestabilan masyarakat. Keadilan tidak boleh diberikan hanya kepada orang yang kita sukai atau kepada kelompok kita. Keadilan mesti ditegakkan kepada semua.

Apabila keadilan terpelihara, lahirlah keyakinan dan kepercayaan. Sebaliknya apabila keadilan diabaikan, timbul rasa terpinggir, kebencian dan perpecahan. Justeru, jadilah Muslim yang adil dalam perkataan, keputusan dan tindakan.

2 - Hormati perbezaan tanpa menggadai prinsip agama

Islam mengajar supaya teguh dalam akidah, pada masa yang sama berakhlak mulia ketika menjalin hubungan dengan mereka yang berbeza agama.

Keteguhan prinsip agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik, berlaku adil dan menjaga hubungan sesama manusia. Islam menuntut kita tegas pada prinsip, tetapi santun dalam pergaulan.

WALAUPUN berbeza warna kulit, agama dan kaum, kita berdiri di bawah bendera yang sama.
WALAUPUN berbeza warna kulit, agama dan kaum, kita berdiri di bawah bendera yang sama.

3 - Bina hubungan melalui akhlak yang mulia

Kekuatan dakwah Rasulullah SAW terserlah melalui akhlak Baginda. Meski memiliki kuasa, Baginda memilih kelembutan.

Baginda mempunyai kedudukan, tetapi tawaduk; Baginda boleh membalas keburukan, namun memilih kemaafan dan kebijaksanaan. Akhlak begini yang perlu kita hidupkan dalam keluarga, masyarakat dan negara.

4 - Mengutamakan persamaan yang menyatukan

Kita mungkin berbeza bangsa, bahasa, budaya dan adat resam. Namun kita berkongsi tanah air, menikmati keamanan yang sama dan mempunyai tanggungjawab bersama untuk memelihara kestabilan negara.

Perbezaan tidak seharusnya menjadi tembok pemisah, sebaliknya perbezaan perlu diurus melalui taaruf, dialog, sikap saling menghormati dan semangat bekerjasama dalam perkara kebaikan.

Sebagai kesimpulan khatib berpesan, Rasulullah SAW tidak sekadar membina sebuah negara, tetapi membina manusia yang amanah, adil, penyayang, pemaaf dan menghormati orang lain.

JAGALAH negara kita daripada sebarang ancaman yang boleh meretakkan keharmonian semua.
JAGALAH negara kita daripada sebarang ancaman yang boleh meretakkan keharmonian semua.

“Baginda mengajar bahawa keamanan masyarakat bermula dengan keamanan hati, perpaduan bermula dengan akhlak dan keharmonian bermula dengan kesediaan ummah untuk menghormati masyarakat di sekelilingnya.

“Negara kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

“Apa sahaja perbezaan dan sebarang perselisihan sesama rakyat hendaklah diselesaikan secara beradab dan berakhlak, berteraskan undang-undang serta peraturan dan berpaksikan semangat Perlembagaan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!