Baqi’ mengajar erti hidup dan mati
Lawatan 40 peserta dari UKM ke tanah perkuburan itu antara aktiviti Kembara Ilmu di Tanah Suci

PERKUBURAN Baqi’ di Madinah bukan sekadar tempat persemadian, malah ia membawa pendidikan psikospiritual yang mengingatkan manusia tentang dunia yang fana, kesamarataan di hadapan kematian dan keperluan mempersiapkan bekalan sebelum kembali kepada ALLAH SWT.
Baqi‘ mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah Islam kerana menjadi tempat persemadian ramai daripada kalangan generasi awal Islam.
Namun di sebalik nilai sejarah, suasananya membawa manusia kepada persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan: apakah yang benar-benar bernilai apabila segala yang dimiliki akhirnya perlu ditinggalkan?
Manusia menghabiskan sebahagian besar kehidupannya membina kerjaya, memperoleh ilmu, mengumpulkan harta dan mengejar pengiktirafan, sedangkan kematian akhirnya meletakkan manusia pada kedudukan yang sama sebagai hamba ALLAH.
Baqi‘ mengajar kita bahawa semua gelaran dunia mempunyai tarikh tamat. Profesor, pemimpin, hartawan atau orang biasa akhirnya akan meninggalkan apa yang dimiliki dan kembali kepada ALLAH SWT.
Kesedaran terhadap kematian tidak sepatutnya menjadikan seseorang pasif atau meninggalkan urusan dunia. Sebaliknya kesedaran tersebut seharusnya menjadikan kehidupan lebih bermakna kerana manusia menyedari bahawa masa yang diberikan kepadanya itu terbatas.
Persoalannya bukan sama ada kita perlu mengejar kejayaan. Kejarlah ilmu, bina kerjaya dan berikan yang terbaik. Tetapi tanyalah kepada diri, jika semua ini akhirnya perlu ditinggalkan, apakah yang sedang kita bina untuk dibawa pulang kepada ALLAH?

Dalam perspektif psikospiritual, ziarah perkuburan mempunyai fungsi pendidikan jiwa kerana ia membantu mengecilkan ego serta mengingatkan manusia bahawa pangkat, kekayaan dan populariti tidak mampu menjamin panjangnya usia. Kesedaran itu juga penting kepada penuntut ilmu.
Pendidikan tidak seharusnya sekadar menghasilkan manusia yang mempunyai sijil dan kedudukan tinggi, tetapi perlu melahirkan individu yang semakin berilmu, semakin rendah hati dan semakin besar manfaatnya kepada masyarakat.
Ilmu jangan hanya membesarkan nama tetapi gagal membesarkan jiwa. Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar amanahnya untuk memberi manfaat kepada manusia.
Justeru, Baqi‘ boleh dilihat sebagai sebuah 'sekolah kehidupan' kepada mereka yang masih hidup. Ia mengingatkan bahawa nilai kehidupan tidak hanya diukur melalui apa yang berjaya dikumpulkan, tetapi juga melalui kebaikan, ilmu bermanfaat, didikan dan sumbangan yang ditinggalkan.
Baqi‘ akhirnya membawa manusia kepada satu renungan yang sederhana tetapi mendalam: hiduplah sebelum menjadi kenangan, berilah sebelum tangan tidak lagi mampu memberi dan berbaktilah sebelum perjalanan kembali kepada ALLAH tiba.
Jika Safa dan Marwah mengajar manusia tentang usaha dan istiqamah, manakala Uhud mengingatkan tentang ketaatan, amanah dan kesatuan, Baqi‘ pula mengingatkan tentang tujuan akhir sebuah perjalanan kehidupan iaitu kembali kepada ALLAH.

Pengurusan jenazah didik erti kematian
Pengurusan jenazah pula bukan sekadar proses memandikan, mengkafankan dan mengebumikan insan yang telah meninggal dunia, sebaliknya merupakan amanah kemanusiaan dan ibadah yang mengingatkan manusia bahawa setiap kehidupan akhirnya akan kembali kepada ALLAH.
Hakikat tersebut antara pengajaran utama yang diperoleh menerusi lawatan ilmiah ke Jam‘iyyah al-Muhajirin li Ikram al-Mawta bi Makkah al-Mukarramah, sebuah pertubuhan yang melaksanakan khidmat pemuliaan dan pengurusan jenazah di Makkah.
Peserta diberikan penerangan mengenai pengurusan jenazah bermula daripada penerimaan, pemandian dan kafan sehingga penyerahan kepada waris, solat jenazah serta urusan pengebumian.
Demonstrasi di ruang pemandian turut memberikan gambaran secara langsung tentang bagaimana jenazah dikendalikan dengan tertib dan penuh penghormatan.
Pengarahnya, Dr. Abdul Rahman At-Tazi menjelaskan bahawa pengurusan jenazah membawa tanggungjawab besar dalam memelihara kehormatan insan selepas meninggal dunia.
Proses tersebut bukan hanya berkaitan tatacara pengurusan jasad, tetapi perlu dilaksanakan berteraskan adab, ihsan dan penghormatan terhadap si mati.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan pengurusan jenazah kepada umat Islam termasuk masyarakat antarabangsa supaya pengetahuan berkaitan fardu kifayah dapat dipelajari dan seterusnya dikembangkan dalam komuniti masing-masing.
Bahan penerangan yang dipamerkan di pusat berkenaan turut menunjukkan usaha menyebarluaskan ilmu pengurusan jenazah pada peringkat antarabangsa.
Berdasarkan paparan di premis tersebut, seramai 6,331 peserta dari 56 negara telah menerima latihan pengurusan jenazah.
Pada masa sama, pusat tersebut mengetengahkan budaya kebajikan melalui sumbangan masyarakat bagi membantu pengurusan jenazah.

Paparan di premis menyatakan kos pemuliaan bagi satu jenazah sebanyak 680 riyal (RM733), selain mengetengahkan konsep sedekah jariah dan amalan yang terus memberikan manfaat kepada seseorang selepas kematiannya.
Lawatan itu akhirnya membawa satu mesej yang lebih besar daripada mempelajari proses pemandian jenazah: mempelajari kematian mengajar manusia tentang kehidupan.
Kesedaran bahawa setiap insan akhirnya akan dimandikan, dikafankan dan dikebumikan seharusnya mendorong manusia menggunakan usia, ilmu, harta dan kedudukan untuk meninggalkan manfaat sebelum tiba perjalanan terakhir.
***PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
