Di mana kepimpinan melalui teladan?

A
A
A

SUDAH berkali-kali Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin muncul di kaca televisyen merayu kepada rakyat Malaysia untuk duduk di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam ucapannya pada 18 Mac 2020, Perdana Menteri menyatakan:

“Tidak perlu keluar ke mana-mana. Dengan cara ini saudara-saudari terhindar daripada jangkitan Covid-19 dan penularan wabak ini insya-ALLAH dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.”

“Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara-saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan. Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family.”

Yang di-Pertuan Agong juga ada menyampaikan titah khas pada awal PKP, juga memohon supaya rakyat rumah dan jangan bergerak. Ketua Pengarah Kesihatan juga seringkali menekankan bahawa langkah paling berkesan untuk melawan wabak Covid-19 ini adalah dengan mematuhi PKP.

Melanggar PKP adalah suatu kesalahan jenayah. Sesiapa yang langgar PKP boleh didakwa dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda RM1,000 dan penjara tidak melebihi 6 bulan.

Sewaktu fasa 2 PKP, kerajaan telah membenarkan polis untuk mengeluarkan notis kompaun kepada mereka yang didapati mengingkari PKP. Notis kompaun itu untuk membayar denda RM1,000 dan pesalah tidak akan dikenakan tindakan.

Namun demikian, untuk fasa 3 PKP, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk tidak lagi mengeluarkan kompaun. Menurut Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa untuk fasa 3 tidak ada lagi kompromi dan tindakan tegas akan diambil. Pesalah akan ditangkap dan dihadapkan terus ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Dalam keadaan krisis Covid-19, rakyat melihat kepada barisan kepimpinan negara untuk mengemudi negara dalam keadaan getir ini.

Peraturan

Kita melihat kepada menteri dan timbalan menteri untuk menunjukkan kepimpinan dengan mengamalkan sendiri apa yang sentiasa diingatkan oleh pihak kerajaan kepada rakyat.

Akan tetapi, yang sebaliknya pula berlaku. Semasa PKP ini, kita melihat menteri dan timbalan menteri tidak mematuhi PKP untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Ada menteri yang memanggil influencer ke pejabat untuk rakam video TikTok. Menteri Besar Terengganu memuat naik kunjungannya ke rumah seorang wakil rakyat untuk menyelesaikan pertikaian parti. Timbalan Menteri, Wan Ahmad Fayshal berjumpa dengan Setiausaha Agung partinya yang juga Menteri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk berbincang soal parti.

Baru-baru ini, tular gambar-gambar Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi bersama dengan Exco Perak, Razman Zakaria bersama-sama dengan beberapa orang lain berhimpun makan-makan di sebuah maahad tahfiz.

Menteri, timbalan, menteri besar, wakil rakyat yang bergerak untuk tujuan rasmi, untuk hulurkan bantuan dan sumbangan buat rakyat, untuk mesyuarat Covid-19 dan sebagainya, tidak ada masalah. Itu tugas mereka. Menteri Kanan bergerak ke Putrajaya untuk buat sidang media contohnya, tiada masalah dan tidak dipertikaikan.

Yang dipertikaikan adalah pergerakan mereka yang berkunjung sesama wakil rakyat, makan-makan, berbincang soal parti dan sebagainya.

Timbalan Menteri Kesihatan contohnya, selepas hulurkan sumbangan, beredarlah. Mengapa perlu kenduri pula selepas urusan tersebut?

Jika pemimpin-pemimpin kita melanggar PKP ini dan tidak mengambil serius peraturan-peraturan PKP, bagaimana rakyat mahu diharapkan untuk mematuhi PKP?

Jika rakyat kena patuhi PKP, pemimpin mesti dahulu menunjukkan kepimpinan melalui teladan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!